Rabu, 24 Mac 2010

Kahwin...pengantin lari

Lari enggan berkahwin
Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin
anbia@hmetro.com.my
2010/03/24

KUALA LUMPUR: Gara-gara tidak bersetuju dengan pilihan keluarga, seorang gadis berusia 19 tahun nekad melarikan diri dari rumah hanya beberapa bulan sebelum melangsungkan majlis perkahwinannya.Difahamkan gadis terbabit, Norsham Ahamed, 19, menghilangkan diri dari rumahnya di Taman Murni Cheras, Batu 9 di sini, selepas berselisih faham dengan bapanya, Ahamed Sha, 49, pada 10 Februari lalu.Ahamed yang ditemui berkata, Norsham menghilangkan diri dari rumahnya sejak lebih dua bulan lalu selepas berlaku pertengkaran kira-kira jam 9 pagi hari sama.
Menurutnya, pergaduhan berlaku apabila dia meminta supaya anaknya itu menjaga bapanya yang uzur di rumah manakala dia dan isteri keluar bekerja.“Mungkin dia berasakan permintaan saya itu sebagai satu bebanan apatah lagi dia menyatakan keinginan untuk berdikari dan bekerja selepas tamat persekolahan,” katanya.

Dia berkata, kehilangan anaknya itu hanya disedari apabila mendapati Norsham yang keluar dari rumah kira-kira jam 1.30 tengah hari dengan alasan untuk bertemu rakan tidak pulang.
“Dia hanya membawa beberapa helai pakaian ketika keluar dari rumah bagaimanapun MyKad miliknya ada pada saya. Sejurus kehilangannya itu, saya dan isteri berusaha mencarinya di sekitar kawasan perumahan, namun gagal.
“Saya tidak pasti punca dia melarikan diri, namun saya berasakan ia ada kaitan dengan majlis perkahwinan yang bakal berlangsung tidak lama lagi. Mungkin dia berubah hati dan mempunyai pilihan lain yang lebih sesuai dengan hatinya,” katanya.
Menurutnya, dia merayu supaya anaknya itu pulang ke pangkuan keluarga segera bagi menyelesaikan masalah itu.


“Perselisihan faham kecil itu boleh diselesaikan dan masalah terbabit turut boleh dibincangkan dengan keluarga asalkan dia sudi pulang ke pangkuan keluarga. Saya dan isteri amat merinduinya dan sudi untuk memaafkan kesilapannya itu.


“Orang ramai yang pernah melihat atau mengetahui di mana Norsham berada diminta menyalurkan maklumat kepada balai polis berdekatan atau menghubungi talian 03-92835022,” katanya.

Sabtu, 6 Mac 2010

Kesihatan Penting Untuk Manusia.

Tahap kesedaran rakyat tentang kesihatan masih rendah
06/03/2010 6:34pm

ALOR SETAR 6 Mac – Tahap kesedaran tentang penjagaan kesihatan pada kalangan rakyat Malaysia masih rendah dan kebanyakannya memandang remeh isu tersebut, kata seorang perunding kesihatan.

Dr. Siti Norishah Saad berkata, rata-rata rakyat negara ini hanya ke hospital selepas mengetahui mereka mempunyai penyakit selain tidak menitikberatkan konsep ”mencegah itu lebih baik daripada merawat”.

"Ini satu fenomena yang tidak baik kerana sepatutnya mereka perlu mencegah penyakit sebelum penyakit itu menyerang kita,” katanya kepada pemberita selepas Forum Kesihatan ”Inovasi Terkini Penyampai Makanan Tambahan Melalui Teknologi Suspensi”, di sini hari ini.

Dr. Siti Norishah berkata, berdasarkan satu kajian, rakyat Malaysia juga tidak mengamalkan pengambilan makanan tambahan untuk menampung keperluan vitamin dan mineral oleh badan mereka.

"Kajian menunjukkan hanya 30 peratus rakyat Malaysia mengambil makanan tambahan berbanding 56 peratus di Amerika Syarikat.

"Jika rakyat tidak mengamalkan tabiat makanan yang baik dan tidak dapat menampung keperluan vitamin, mineral dan keperluan-keperluan asas lain badan, mereka perlu mengambil makanan tambahan supaya dapat memperbaiki dan menampung kekurangan nilai nutrisi makanan mereka,” katanya. – Bernama
Related Posts with Thumbnails