Selasa, 1 November 2011

Irfan Coach terbaik Trg...berpindah ke Selangor.


Selamat tinggal Ganu!
Oleh : Wartawan Sinar Harian
Tarikh : October 31, 2011

TEKA-TEKI berhubung masa depan Irfan Bakti Abu Salim bersama pasukan Terengganu terjawab. Semalam, jurulatih kelahiran Kelantan itu telah mengesahkan tidak akan menyambung kontraknya bersama skuad Penyu yang bakal berakhir hujung bulan depan lapor, ZUBIR SULAIMAN

Beliau akhirnya membuat keputusan untuk mengundur diri daripada pasukan itu secara professional setelah lebih dua tahun menabur bakti untuk pasukan Terengganu sehingga berjaya membawa skuad Penyu membawa pulang Piala FA, naib johan Liga Super dan Piala Malaysia 2011.

“Saya mengambil keputusan untuk me­ngun­dur diri dan tidak menyambung kontrak yang akan berakhir 30 November depan setelah berbincang dengan pihak pengurusan.

“Buat masa ini saya akan cuba cari pasu-kan baru yang inginkan khidmat saya. Tawaran itu memang banyak, bagaimapun saya harus teliti terlebih dahulu sebab saya sukakan cabaran.

Insya-Allah, dalam masa sehari dua lagi saya akan tentukan hala tuju saya,” katanya dalam nada sebak ketika ditemui di pekarangan pejabat Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) di sini, semalam.

Jurulatih yang berpengalaman lebih 15 tahun itu mula membimbing pasukan Terengganu pada 2009 setelah diberi peluang mengendalikan kelab Indonesia, Persipura selama satu musim.

Bagaimanapun, Irfan menafikan bahawa pengundurannya berpunca daripada pergeseran atau rasa tidak puas hati terhadap PBSNT.

Menurutnya, dia tidak mempunyai sebarang masalah dengan pihak persatuan malah mereka (PBSNT) membayar gaji serta bonus tepat pada masanya.

“Saya meninggalkan Te­reng­ganu kerana sudah dua tahun saya di sini dan saya rasa cukuplah dua tahun itu. Saya akan cuba cari`team’ baru selepas ini
“Justeru saya berharap agar pengganti saya nanti dapat memanfaatkan sepenuhnya kelebihan yang dimiliki oleh pasukan Terengganu ketika ini,” katanya.

www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

Sabtu, 1 Januari 2011

Adakah ini nilai kita...

Abd. Rahim diminta bertaubat

Oleh SITI MAISARAH SHEIKH ABD. RAHIM
pengarang@utusan.com.my
KUALA LUMPUR 1 Jan. – Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Wan Abd. Rahim Wan Abdullah diminta menarik balik kenyataannya yang sanggup mati mempertahankan Pengerusi DAP, Karpal Singh kerana ia boleh menggugat akidah seorang Islam.

Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Dr. Ahmad Atory Hussain berkata, wakil rakyat Pas itu tidak sepatutnya mempertaruhkan nyawa kepada orang bukan Islam semata-mata atas kepentingan politik.

“Sebagai orang Islam tidak sepatutnya membuat sesuatu pendirian sanggup mati kepada bukan Islam kerana soal politik dunia tidak boleh dicampur aduk dengan hal akhirat.

“Beliau harus berfikir dan kembali ke pangkal jalan serta kewarasan agama kerana Islam mempunyai batasan tertentu dengan bukan Islam khususnya berkaitan akidah dan kenyataan itu jelas sudah terkeluar daripada ajaran Islam,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia hari ini.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan ucapan Wan Abd. Rahim di Konvensyen Pakatan Rakyat baru-baru ini yang memberi amaran ‘langkah mayat saya dahulu’ jika ada pihak yang ingin ‘mengusik’ Karpal Singh walaupun Pengerusi DAP itu sebelum ini pernah memberi amaran ‘langkah mayatnya dahul’ jika Pas mahu menubuhkan negara Islam di Malaysia.

Pengorbanan itu dibuat atas dasar kesetiaan dan semangat setiakawan Pas terhadap pakatan pembangkang yang turut dianggotai oleh DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Ia dipercayai bertujuan mempertahankan Karpal yang ‘diserang’ pelbagai pihak, berhubung pendiriannya membela Datuk Seri Anwar Ibrahim sedangkan, beliau yang mendedahkan kegiatan salah laku seks ketua pembangkang tersebut pada tahun 1997 di Dewan Rakyat.

Dalam pada itu, Bekas Felo Pusat Syariah Undang-Undang dan Sains Politik, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Mohd. Roslan Mohd. Saludin berkata, Pas dan Ahli Parlimen Kota Bharu itu diminta bertaubat apabila sanggup mempertahankan seseorang yang tegar menentang hukum Allah dan pembentukan negara Islam semata-mata terlampau kemaruk kuasa.

Katanya, kenyataan itu adalah sesuatu yang tidak relevan dan disifatkan sudah hilang pedoman dan jati diri muslim.

“Cikgu Rahim (Wan Abd. Rahim) sepatutnya banyak beristighfar dan bertaubat serta sedar implikasi kepada akidah seorang Muslim sekiranya mati dalam keadaan mempertahankan seseorang yang umum sedia maklum amat tegar dan lantang menentang hukum Allah dan pembentukan sebuah negara Islam.

“Pendirian melampau beliau seolah-olah lagak Pak Kadok yang bersorak sedangkan kampung (maruah Islam) bakal tergadai.

“Apakah dia (Wan Abd. Rahim) tidak sedar kenyataannya itu seolah- olah mengisytihar ‘jihad’ mempertahankan kemungkaran dan penghinaan yang selama ini dilakukan oleh Karpal Singh dan DAP dalam kancah politik tanah air,” katanya.

Selasa, 26 Oktober 2010

Si Tanggang Moden..

Ibu koma kena penumbuk anak

Oleh HAMZAH SARAH
berita@kosmo.com.my

KEMAMAN – Seorang juruteknik Petroliam Nasional Bhd. (Petronas) Kerteh boleh dianggap sebagai Si Tanggang moden apabila tergamak menumbuk ibu sendiri sehingga koma gara-gara tidak berpuas hati dengan tindakan wanita itu yang lambat menyiapkan persiapan perkahwinannya.

Kejadian kira-kira pukul 1 petang di Kampung Mak Cili Paya di sini Ahad lalu itu berlaku ketika mangsa, Azizah Deraman, 47, didatangi anaknya yang mempersoalkan mengenai kelewatan persiapan perkahwinannya yang dijadualkan berlangsung pada 6 November ini.

Difahamkan, suspek yang berusia 25 tahun tiba-tiba naik angin sebelum melepaskan tumbukan ke arah muka ibunya.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Supritendan Abdullah Sani Salat berkata, tindakan biadap suspek itu menyebabkan mangsa terjatuh sebelum mukanya tersembam ke meja.

Ahad, 19 September 2010

Jangan Penting Politik..

Nik Aziz tunjuk 'wajah sebenar' - Ibrahim Ali

KUALA LUMPUR 19 Sept. - Kenyataan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bahawa beliau tidak bangga berbangsa Melayu menunjukkan anutan politik sebenar Menteri Besar Kelantan itu.

Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali berkata, pengakuan itu bukannya mengejutkan kerana Nik Abdul Aziz sebelum ini telah beberapa kali membuat kenyataan berkaitan agama berbaur kepentingan politik kepartian.

Katanya, umat Islam di negara ini pastinya tidak akan melupakan tindakan Mursyidul Am Pas itu yang kerap 'menghalalkan' tindakan pemimpin DAP bagi menjaga hubungan Pas dengan parti pakatan pembangkang yang lain.

"Jadi tidaklah perlu kita terkejut dengan kenyataan berkaitan bangsa Melayu, ia hanyalah untuk menarik undi orang bukan Melayu.

"Dia rasa sudah berjaya memperdayakan DAP dengan menarik perhatian orang Cina sedangkan dia tidak sedar DAP sedang mentertawakannya kerana banyak telatahnya mengundang bencana kepada bangsa Melayu," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Dalam dialog bersama wartawan di Kota Bharu semalam, Nik Abdul Aziz dilaporkan berkata, beliau tidak bangga berbangsa Melayu kerana bangsa itu datang secara automatik dan dalam Islam tiada bangsa yang lebih dan jika ada pun, ia adalah bangsa Arab.

Sementara itu, Ibrahim berkata, Nik Abdul Aziz sepatutnya berhati-hati apabila membuat kenyataan kerana dikhuatiri ia mengundang sikap bongkak, takbur dan kufur.

Katanya, Allah menjadikan manusia berbangsa-bangsa untuk mengenali antara satu sama lain sebagaimana terkandung dalam ayat ke-13, surah Al-Hujurat.

"Manusia yang tidak kenal bangsanya adalah manusia yang tidak mengenali dirinya dan ia membawa kepada tidak mengenal Allah.

"Dia sepatutnya menyelami dan mendalami ayat al-Quran sebelum mengeluarkan kata-kata supaya tidak berlaku bidaah yang memusnahkan ibadah dan memesongkan tauhid diri dan ummah," tegasnya.

Ahad, 15 Ogos 2010

Pekerja Asing di malaysia.

Pekerja asing buat kecoh

SEBAHAGIAN daripada pekerja kilang yang berkumpul di balkoni asrama kerana tidak puas hati dengan kematian pekerja Nepal di Kawasan Perindustrian Tebrau, Johor Bahru semalam.

JOHOR BAHRU - Menyangkakan seorang rakan mereka mati akibat lambat dihantar ke hospital oleh majikan, lebih 5,000 pekerja warga asing sebuah kilang elektronik di Kawasan Perindustrian Tebrau di sini semalam mencetuskan kekecohan dengan berkumpul dan membuat bising di asrama lelaki kilang tersebut.

Malah ada di kalangan pekerja asing itu bertindak agresif dengan membaling kerusi dan sampah sarap ke kawasan asrama sebagai tanda protes berhubung kematian seorang rakan mereka membabitkan seorang lelaki Nepal berusia 20 tahun.

Kebanyakan 5,000 pekerja yang mendiami tiga blok asrama yang setiap blok setinggi empat tingkat itu berada di balkoni asrama dengan menunjukkan sikap tidak puas hati.

Bagaimanapun, keadaan tidak tenteram yang berlangsung selama tujuh jam bermula pukul 7 pagi itu berakhir menjelang pukul 2 petang dengan rundingan dilakukan oleh polis dan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU).

Rabu, 24 Mac 2010

Kahwin...pengantin lari

Lari enggan berkahwin
Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin
anbia@hmetro.com.my
2010/03/24

KUALA LUMPUR: Gara-gara tidak bersetuju dengan pilihan keluarga, seorang gadis berusia 19 tahun nekad melarikan diri dari rumah hanya beberapa bulan sebelum melangsungkan majlis perkahwinannya.Difahamkan gadis terbabit, Norsham Ahamed, 19, menghilangkan diri dari rumahnya di Taman Murni Cheras, Batu 9 di sini, selepas berselisih faham dengan bapanya, Ahamed Sha, 49, pada 10 Februari lalu.Ahamed yang ditemui berkata, Norsham menghilangkan diri dari rumahnya sejak lebih dua bulan lalu selepas berlaku pertengkaran kira-kira jam 9 pagi hari sama.
Menurutnya, pergaduhan berlaku apabila dia meminta supaya anaknya itu menjaga bapanya yang uzur di rumah manakala dia dan isteri keluar bekerja.“Mungkin dia berasakan permintaan saya itu sebagai satu bebanan apatah lagi dia menyatakan keinginan untuk berdikari dan bekerja selepas tamat persekolahan,” katanya.

Dia berkata, kehilangan anaknya itu hanya disedari apabila mendapati Norsham yang keluar dari rumah kira-kira jam 1.30 tengah hari dengan alasan untuk bertemu rakan tidak pulang.
“Dia hanya membawa beberapa helai pakaian ketika keluar dari rumah bagaimanapun MyKad miliknya ada pada saya. Sejurus kehilangannya itu, saya dan isteri berusaha mencarinya di sekitar kawasan perumahan, namun gagal.
“Saya tidak pasti punca dia melarikan diri, namun saya berasakan ia ada kaitan dengan majlis perkahwinan yang bakal berlangsung tidak lama lagi. Mungkin dia berubah hati dan mempunyai pilihan lain yang lebih sesuai dengan hatinya,” katanya.
Menurutnya, dia merayu supaya anaknya itu pulang ke pangkuan keluarga segera bagi menyelesaikan masalah itu.


“Perselisihan faham kecil itu boleh diselesaikan dan masalah terbabit turut boleh dibincangkan dengan keluarga asalkan dia sudi pulang ke pangkuan keluarga. Saya dan isteri amat merinduinya dan sudi untuk memaafkan kesilapannya itu.


“Orang ramai yang pernah melihat atau mengetahui di mana Norsham berada diminta menyalurkan maklumat kepada balai polis berdekatan atau menghubungi talian 03-92835022,” katanya.

Sabtu, 6 Mac 2010

Kesihatan Penting Untuk Manusia.

Tahap kesedaran rakyat tentang kesihatan masih rendah
06/03/2010 6:34pm

ALOR SETAR 6 Mac – Tahap kesedaran tentang penjagaan kesihatan pada kalangan rakyat Malaysia masih rendah dan kebanyakannya memandang remeh isu tersebut, kata seorang perunding kesihatan.

Dr. Siti Norishah Saad berkata, rata-rata rakyat negara ini hanya ke hospital selepas mengetahui mereka mempunyai penyakit selain tidak menitikberatkan konsep ”mencegah itu lebih baik daripada merawat”.

"Ini satu fenomena yang tidak baik kerana sepatutnya mereka perlu mencegah penyakit sebelum penyakit itu menyerang kita,” katanya kepada pemberita selepas Forum Kesihatan ”Inovasi Terkini Penyampai Makanan Tambahan Melalui Teknologi Suspensi”, di sini hari ini.

Dr. Siti Norishah berkata, berdasarkan satu kajian, rakyat Malaysia juga tidak mengamalkan pengambilan makanan tambahan untuk menampung keperluan vitamin dan mineral oleh badan mereka.

"Kajian menunjukkan hanya 30 peratus rakyat Malaysia mengambil makanan tambahan berbanding 56 peratus di Amerika Syarikat.

"Jika rakyat tidak mengamalkan tabiat makanan yang baik dan tidak dapat menampung keperluan vitamin, mineral dan keperluan-keperluan asas lain badan, mereka perlu mengambil makanan tambahan supaya dapat memperbaiki dan menampung kekurangan nilai nutrisi makanan mereka,” katanya. – Bernama
Related Posts with Thumbnails