Khamis, 28 Januari 2010

Jangan Main Api.


Kepala babi dilontar dalam perkarangan dua masjid
Jimadie Shah Othman
Jan 27, 10
10:55am
dikemaskini 2.50pm Kepala babi ditemui dilontarkan ke dalam perkarangan dua buah masjid sekitar Jalan Klang Lama hari ini
Kepala babi berkenaan dijumpai di perkarangan Masjid Jumhuriyah, Taman Datuk Harun di Petaling Jaya dan Masjid Al-Imam Al-Tirmizi, Taman Seri Sentosa, Jalan Klang Lama.
Insiden itu merupakan yang terbaru perbuatan merosak dan mencemarkan rumah-rumat ibadat sepanjang tiga minggu lalu, yang membabitkan 11 gereja, sebuah kuil Sikh, sebuah masjid dan dua surau.
Serangan ini dipercayai ada kaitan dengan keputusan Mahkamah Tinggi pada 31 Disember lalu yang membenarkan bukan Islam menggunakan kalimah Allah sebagai terjemahaan untuk 'God'.

Menurut saksi, dua kepala babi dijumpai oleh jemaah di perkarangan masjid ketika datang hendak menunaikan solat Subuh pada jam 5.30 pagi.

Selain kepala babi, kepingan wang kertas juga ditemui ditaburkan di di situ.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dan pegawainya datang untuk menyiasat kawasan kejadian.

Wang juga dijumpai bertaburan

Sementara itu, satu beg plastik yang berisi dua kepala babi hutan di temui di tempat letak kereta Masjid Al-Imam Al-Tirmizi oleh seoang penduduk, Sharif Shaari, 57, yang datang pada jam 5.45 pagi tadi untuk mengerjakan solat Subuh.

Sharif, seorang peniaga, bersama seorang kawannya ternampak beg plastik itu tetapi tidak menyangka ia berisi kepala babi, lalu mereka terus masuk ke masjid untuk mengerjakan solat.

Selepas mengerja solat Subuh, mereka keluar semula untuk memeriksa beg tersebut dan terkejut apabila mendapati ia mengandungi dua kepala babi hutan.

Mereka juga ternampak kepingan wang kertas ditaburkan di situ. Ia termasuk sekeping wang RM1, RM5 dan RM10 - kesemunya bernilai kira-kira RM35.

Mereka kemudian terus masuk semula ke masjid dan memaklumkan perkara itu kepada imam masjid berkenaan, Zulkifli mohamad.

Seorang daripada mereka menelefon pihak polis yang tiba kira-kira 6.40 pagi tadi.

Bungkusan lutsinar

Manakala di Masjid Jumhuriyah Taman Datuk Harun, Petaling Jaya - berdekatan dengan lebuh raya Pantai Baharu (NPE) - terdapat dua kepala babi hutan ditemui di perkarangan masjid berdekatan di pintu belakang kira-kira jam 6 pagi tadi oleh anak kariah.

Jarak antara kedua-dua masjid tersebut adalah sejauh 3km.

Saksi kejadian, Mohd Hilmi Bakri, 20, seorang pelajar berkata ketika beliau ke masjid berkenaan untuk menunaikan solat Subuh, beliau ternampak kira-kira 20 orang sedang berkerumun melihat sebuah bungkusan lutsinar.

Berdekatan dengan bungkusan itu juga terdapat 30 wang kertas RM1. Mereka membiarkannya kerana menyangka bungkusan mengandungi bayi yag dibuang.


Kemudian, seorang pegawai masjid menghubungi pihak polis kira-kira jam 6.30 pagi. Dua anggota polis tiba dan membuka bungkusan tersebut, dan mendapati ia berisi kepala babi hutan.

Selepas itu, dua kereta peronda polis datang dan mengambil kepala babi hutan itu kira kira jam 7.30 pagi tadi.

Sementara itu, timbalan nazir masjid berkenaan, Hasbullah Zainal berkata beliau kesal dengan kejadiaan tersebut yang tidak pernah terjadi sebelum ini.

Beliau juga meminta anggota kariah supaya bertenang dan menyerahkannya kepada pihak keselamatan untuk menyiasat kejadian itu.

Ahad, 17 Januari 2010

Sikit-sikit Mahkamah

Karpal buat laporan polis terhadap CPO, pegawai SPRM
Humayun Kabir
Jan 17, 10
11:19pm
Pengerusi DAP, Karpal Singh membuat laporan polis terhadap ketua polis (CPO) Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar yang didakwanya telah melakukan fitnah dan ugutan jenayah.

Karpal, seorang peguam terkemuka, membuat laporan tersebut di ibupejabat balai polis Ipoh hari ini.

Laporan tersebut berhubung kenyataan Khalid berkaitan dengan setiausaha agung DAP yang juga ketua menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berhubung kenyataannya mengenai Teoh Beng Hock.

Lim sedang disiasat berhubung kenyataannya itu yang diklasifikasikan sebagai berunsur hasutan.

Dalam laporannya itu, Karpal berkata walaupun Khalid - pada 15 Januari lalu - menafikan polis mengugut untuk menangkap Lim, tetapi katanya ketua polis Selangor itu telah mengesahkan bahawa satu kenyataan telah diambil dari Lim pada 9 Januari.

Salinan artikel bertarikh 16 Januari dalam akhbar The Star turut dikembarkan bersama laporan tersebut.

Sementara itu, Karpal juga membuat satu lagi laporan polis terhadap pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Raub Ghani.

Karpal mendakwa Raub yang bertugas di cawangan siasatan SPRM di Putrajaya, telah membuat laporan polis palsu terhadap pakar forensik Thailand, Dr Pornthip Rojanasunand.

Pada 1 Januari lalu, Raub membuat laporan polis terhadap Dr Pornthip selepas sebuah artikel dalam akhbar PKR - Suara Keadilan - mendakwa hasil bedah siasat kedua menunjukkan Teoh telah dibunuh.

Seorang lagi pegawai SPRM, Hisham Mohd Yusoff membuat laporan polis terhadap Suara Keadilan pada hari yang sama.

Bagaimanapun, akhbar PKR itu kemudiannya menjelaskan bahawa sumber maklumat tersebut adalah para pegawai Kementerian Kesihatan.

Pada hari Jumaat, peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail berkata Dr Pornthip - saksi terpenting dalam inkues Teoh - tidak melakukan sebarang kesalahan.

Karpal menegaskan bahawa pendedahan Suara Keadilan itu dan kenyataan peguam negara itu, jelas menunjukkan Raub telah membuat laporan palsu.

Salinan dua laporan polis itu diperolehi pihak media petang ini selepas konvensyen nasional DAP di Ipoh berakhir.

Jumaat, 15 Januari 2010

Kenyataan Betul Tapi Bengang..

Peguam SPRM hampir kena tindakan hina mahkamah
Jan 15, 10 5:02pm
Prosiding inkues setiausaha politik Teoh Beng Hock di Shah Alam hari ini menjadi tegang apabila peguam Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hampir dikenakan tindakan menghina mahkamah kerana mempersenda ketidakupayaan fizikal peguam Karpal Singh.

Dalam prosiding itu, Datuk Abdul Razak Musa, mewakili SPRM, telah berkata "saya boleh duduk tetapi kamu tidak boleh berdiri" kepada Karpal yang berkerusi roda.

Kenyataan itu mencetuskan pertikaman lidah serta menimbulkan kemarahan Karpal dan anaknya Gobind Singh dan mendesak mahkamah untuk mengeluarkan perintah terhadap Abdul Razak kerana menghina.

Koroner Azmil Muntapha Abas bagaimanapun memutuskan tidak mengenakan perintah ke atas Abdul Razak kerana menghina setelah mahkamah menerima permohonan maaf peguam itu dan memberi peringatan supaya tidak mengulangi perbuatan tersebut.

Abdul Razak mengeluarkan komen tersebut setelah Karpal, yang mewakili abang mendiang, Teoh Meng Kee, menghalangnya beberapa kali daripada membuat bantahan dan mengarahkannya duduk.

Abdul Razak ingin membuat bantahan terhadap kenyataan Karpal yang mendakwa Teoh mati dibunuh dan terdapat kemungkinan penglibatan pegawai-pegawai SPRM dalam kejadian itu.

Karpal bagaimanapun enggan menerima permohonan maaf itu dan mendakwa ia dibuat dengan tidak ikhlas, serta mendesak koroner supaya mengeluarkan perintah 'kerana menghina mahkamah'.

Koroner Azmil sebaliknya hanya memberikan peringatan kepada Abdul Razak dan mengarahkan supaya prosiding inkues diteruskan dengan mendengar hujah Karpal berhubung permohonannya untuk memulakan prosiding penghinaan mahkamah terhadap dua pegawai SPRM.

Karpal yang tidak berpuas hati dengan keputusan koroner itu enggan meneruskan prosiding inkues.

Beliau memohon supaya Abdul Razak dikenakan denda RM150 dan penjara sehari kerana kesalahan menghina mahkamah di bawah Akta Mahkamah Rendah 1948.

Peguam Malik Imtiaz Sarwar, bagi pihak kerajaan Selangor, berkata mahkamah patut mengambil berat isu tersebut kerana ia menyentuh sikap Abdul Razak yang tidak sensitif ketika mengeluarkan komen tersebut.

Prosiding inkues bagi menyiasat kematian Teoh bersambung Jumaat depan.

Beng Hock, 30, setiausaha politik kepada pengerusi jawatankuasa tetap kampung baru dan pengurusan kilang haram Selangor, Ean Yong Hian Wah, ditemui mati pada 16 Julai tahun lepas di tingkat lima Plaza Masalam, Shah Alam selepas memberi keterangan sebagai saksi siasatan salah guna wang kerajaan negeri Selangor kepada SPRM Selangor yang berpejabat di bangunan sama.

- Bernama

Khamis, 7 Januari 2010

Stadium Negeri Terengganu Runtuh.


Gagal patuhi spesifikasi punca stadium runtuh
Jan 7, 10 6:56pm
Bahan dan kualiti hasil kerja yang tidak memenuhi spesifikasi dikenal pasti antara punca utama struktur bumbung kerangka Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Terengganu, runtuh Jun tahun lepas.

Menurut laporan jawatankuasa siasatan kejadian itu, faktor reka bentuk yang tidak memadai, bumbung yang tidak dibina dengan sempurna dan kawalan kualiti yang tidak dilaksanakan di tapak projek turut menyumbang kepada kejadian tersebut.

Menteri Kerja Raya Datuk Shaziman Abu Mansor yang mendedahkan laporan jawatankuasa siasatan itu hari ini berkata, siasatan juga mendapati pengawasan yang agak kurang ketika kerja-kerja pembinaan selain dilakukan secara tergesa-gesa turut menjejaskan kualiti stadium berkenaan.

Mengulas perkara itu, Shaziman berkata laporan itu telahpun dibentangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri semalam yang juga bersetuju supaya laporan itu diserahkan kepada kerajaan negeri Terengganu, manakala satu lagi salinan dikemukakan kepada pejabat peguam negara, katanya kepada pemberita di Kuala Lumpur.

Shaziman, yang ditemui ketika mengadakan lawatan kerja ke Hubungan Kerinchi Arah Utara Lebuhraya Skim Penyuraian Trafik KL Barat (Sprint) dekat sini, berharap kerajaan negeri Terengganu dapat menggunakan hasil laporan itu untuk mengambil langkah susulan.

"JKR juga telah memaklumkan kepada kerajaan Terengganu supaya kerja-kerja mengubah runtuhan yang ada di kawasan stadium itu boleh dilakukan dan kerja-kerja pembaikan boleh dimulakan," katanya.

Dalam kejadian pada 2 Jun tahun lepas, bumbung stadium berkenaan di Gong Badak yang berharga RM300 juta dan siap dibina pada Mei tahun yang sama untuk Sukan Malaysia (Sukma) ke-12, runtuh secara tiba-tiba.

Ekoran kejadian itu, sebuah jawatankuasa siasatan terdiri daripada 10 wakil daripada pelbagai agensi kerajaan dan badan profesional berkaitan diberi masa enam bulan untuk melaksanakan penyiasatan dan menyiapkan laporan akhir ekoran kejadian keruntuhan bumbung utama stadium berkenaan.

Jawatankuasa itu dipertanggungjawab antara lain untuk mengenal pasti punca kejadian, mengesyorkan langkah-langkah pencegahan bagi mengelakkan kejadian itu berulang dan mengemukakan cadangan pembinaan semula stadium.

- Bernama

Sabtu, 2 Januari 2010

Berak Basuh sendirilah

Kerajaan BN silap, Pas jadi mangsa: Nik Aziz

KOTA BHARU - Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan tindakan mahkamah mengarahkan Kerajaan Negeri membayar ganti rugi kira-kira RM800 juta disebabkan kelemahan Barisan Nasional (BN) ketika memerintah Kelantan.

Beliau, yang juga Mursyidul Am Pas berkata, keputusan mahkamah itu membuktikan BN tidak upayatadbir negeri hingga menyebabkan kerajaan pimpinan Pas terpaksa menanggung segala masalah.

“Orang lain buang sampah, kita kena sapu. Ini penyakit bagi jaga negeri kepada orang yang tidak pandai (memerintah),” katanya semasa menyampaikan kuliah Jumaatnya di sini, semalam.

Beliau mengulas keputusan Mahkamah Tinggi Kota Bharu, Rabu lalu, yang mengarahkan Kerajaan Negeri membayar RM800 juta kepada Timbermine kerana melanggar perjanjian. Jumlah ganti rugi titu dikatakan tertinggi dalam kes saman sivil negara ini.

Nik Aziz berkata, beliau sedar isu itu pernah dibangkitkan dengan menyatakan Pas sudah menjual negeri kepada Singapura.

Namun, katanya, ketika parti itu mendapat kuasa d:ari rakyat, mereka juga tidak menyelesaikan isu itu hingga menyebabkan Kerajaan Negeri disaman.

:“Waktu itu, saya balik dari Mesir pada 1962 dan 1967, saya masuk Pas dan bertanding. Ketika itu timbul cerita Pas Kelantan gadai negeri kepada Singapura. Ini cerita disebarkan sekitar 1970-an,

“Cerita ketika itu timbul Pas gadai kepada tauke Singapura (syarikat) Timbermine, mereka (BN) kata nak tebus balik jika undi (BN), kalu tak undi akan digadai selamanya.

“Benda ini masuk dalam kepala rakyat. Mereka yang melakukannya setengahnya sudah mati. Akhirnya undilah (menang) kita sangka tebus dah, tapi tidak lagi. Buktinya kita kena bayar RM800 juta, mereka tipu, ni wang ihsan nak tipu pula,” katanya.

Hormati Islam

Perkataan Allah: Mahathir bimbang kemarahan umat Islam
02/01/2010 4:57pm

KUALA TERENGGANU 2 Jan. – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bimbang dengan kemarahan umat Islam jika penggunaan perkataan Allah oleh agama lain tidak dihalang.

Katanya, walau apa jua alasan yang diberi, kemarahan tetap tercetus di kalangan umat Islam terhadap pihak lain yang menggunakan kalimah Allah itu.

Bagi memastikan negara kekal aman katanya, setiap orang di negara ini perlu saling mengambil kira soal sensitiviti agama dan kaum.

Jelasnya, perkataan Allah adalah spesifik bagi umat Islam sahaja manakala perkataan tuhan atau god dalam bahasa Inggeris adalah untuk penganut agama lain.

"Saya khuatir kebenaran menggunakan perkataan Allah ini akan menimbulkan kemarahan orang Islam, sebenarnya terjemahan perkataan god dalam bahasa Inggeris adalah tuhan bukan Allah dan Allah spesifik bagi orang Islam sahaja.

"Jadi kalau mereka faham, mereka akan menggunakan perkataan tuhan bukannya Allah," katanya kepada pemberita selepas membentangkan Wacana Perdana: Mahasiswa Melayu: Cabaran dan Masa Depan pada Konvensyen Mahasiswa Melayu (Konmam) 2010 di Universiti Malaysia Terengganu (UMT ) di sini hari ini. - Utusan

Jumaat, 1 Januari 2010

Ahli Parlimen Buta Tugas.

Nazri perlu bertanggungjawab

Oleh SANTHY MUTHALU
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 30 Dis. – Pergerakan Wanita UMNO mahu Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz bertanggungjawab terhadap kegagalan wakil rakyat Barisan Nasional (BN) hadir ke sidang Dewan Rakyat pada 14 Disember lalu.

Exco pergerakan itu, Datuk Jamelah A. Bakar berkata, selaku menteri yang bertanggungjawab menjaga hal ehwal Parlimen, Mohamed Nazri patut sedar bahawa beliau yang harus dipertanggungjawabkan dan mengaku kesalahannya.

‘‘Kalau beliau tidak mahu berundur dari jawatan menteri pun tak apa, mengaku sahajalah kesalahan tersebut.

“Rakyat sentiasa memerhati kita. Sebagai seorang pemimpin, beliau harus mempunyai sikap yang baik seperti mengaku kesalahan tanpa menuding jari terhadap orang lain,’’ katanya ketika dihubungi hari ini.

Jamelah mengulas kenyataan Naib Ketua Wanita UMNO, Datuk Kamilia Ibrahim semalam yang meminta Mohamed Nazri meletak jawatan ekoran kegagalan wakil rakyat BN hadir ke sidang Dewan Rakyat bagi meluluskan sesi bacaan kali ketiga Bajet 2010.

Tambah beliau, di Jepun jika seseorang menteri membuat apa-apa kesalahan, mereka menghukum diri sendiri dengan membunuh diri.

“Bukan kita mahu beliau membunuh diri. Beliau hanya perlu mengaku kesalahan dan teruskan menjalankan tugasnya dengan lebih berhati-hati,’’ katanya.

Dalam pada itu, katanya, Wanita UMNO juga mengesyorkan agar ahli-ahli Parlimen BN yang gagal hadir ke sidang Dewan Rakyat sepanjang tahun ini dikenalpasti untuk dikenakan tindakan.

“Ini akan memberi pengajaran kepada semua wakil rakyat supaya lebih bertanggungjawab pada masa hadapan,’’ katanya.

Dalam pada itu, Ketua Wanita UMNO Negeri Sembilan, Datuk Norhayati Omar berkata, setiap Ahli Parlimen BN harus menjalankan tanggungjawab dengan penuh dedikasi kerana situasi politik di negara ini masih belum berpihak kepada BN.

Katanya, tindakan Mohamed Nazri yang tidak begitu serius untuk mengumumkan mengenai kelulusan bajet itu kepada wakil rakyat, tidak boleh dilihat sebagai perkara biasa.

“Tindakan beliau itu mungkin menyebabkan beberapa perkara yang tidak diingini berlaku ketika bajet berkenaan diluluskan.

“Dulu situasi politik di negara ini sangat berlainan jika dibandingkan dengan sekarang. Maka, setiap pemimpin harus bertanggungjawab terhadap tugas yang diberikan,’’’ katanya.

Sementara itu, Ketua Wanita UMNO Bahagian Ipoh Barat, Abashah Othman berkata, semua ahli pergerakan berkenaan menyokong penuh kenyataan Kamilia itu.

“Mohamed Nazri harus melihat kenyataan itu sebagai teladan untuk memperbaiki kesalahannya.

“Tidak perlu memperbesarkan lagi isu ini. Mengaku sahaja bertanggungjawab dan beliau boleh meneruskan tugasnya seperti biasa,’’ katanya.
Related Posts with Thumbnails