Jumaat, 1 Januari 2010

Ahli Parlimen Buta Tugas.

Nazri perlu bertanggungjawab

Oleh SANTHY MUTHALU
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 30 Dis. – Pergerakan Wanita UMNO mahu Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz bertanggungjawab terhadap kegagalan wakil rakyat Barisan Nasional (BN) hadir ke sidang Dewan Rakyat pada 14 Disember lalu.

Exco pergerakan itu, Datuk Jamelah A. Bakar berkata, selaku menteri yang bertanggungjawab menjaga hal ehwal Parlimen, Mohamed Nazri patut sedar bahawa beliau yang harus dipertanggungjawabkan dan mengaku kesalahannya.

‘‘Kalau beliau tidak mahu berundur dari jawatan menteri pun tak apa, mengaku sahajalah kesalahan tersebut.

“Rakyat sentiasa memerhati kita. Sebagai seorang pemimpin, beliau harus mempunyai sikap yang baik seperti mengaku kesalahan tanpa menuding jari terhadap orang lain,’’ katanya ketika dihubungi hari ini.

Jamelah mengulas kenyataan Naib Ketua Wanita UMNO, Datuk Kamilia Ibrahim semalam yang meminta Mohamed Nazri meletak jawatan ekoran kegagalan wakil rakyat BN hadir ke sidang Dewan Rakyat bagi meluluskan sesi bacaan kali ketiga Bajet 2010.

Tambah beliau, di Jepun jika seseorang menteri membuat apa-apa kesalahan, mereka menghukum diri sendiri dengan membunuh diri.

“Bukan kita mahu beliau membunuh diri. Beliau hanya perlu mengaku kesalahan dan teruskan menjalankan tugasnya dengan lebih berhati-hati,’’ katanya.

Dalam pada itu, katanya, Wanita UMNO juga mengesyorkan agar ahli-ahli Parlimen BN yang gagal hadir ke sidang Dewan Rakyat sepanjang tahun ini dikenalpasti untuk dikenakan tindakan.

“Ini akan memberi pengajaran kepada semua wakil rakyat supaya lebih bertanggungjawab pada masa hadapan,’’ katanya.

Dalam pada itu, Ketua Wanita UMNO Negeri Sembilan, Datuk Norhayati Omar berkata, setiap Ahli Parlimen BN harus menjalankan tanggungjawab dengan penuh dedikasi kerana situasi politik di negara ini masih belum berpihak kepada BN.

Katanya, tindakan Mohamed Nazri yang tidak begitu serius untuk mengumumkan mengenai kelulusan bajet itu kepada wakil rakyat, tidak boleh dilihat sebagai perkara biasa.

“Tindakan beliau itu mungkin menyebabkan beberapa perkara yang tidak diingini berlaku ketika bajet berkenaan diluluskan.

“Dulu situasi politik di negara ini sangat berlainan jika dibandingkan dengan sekarang. Maka, setiap pemimpin harus bertanggungjawab terhadap tugas yang diberikan,’’’ katanya.

Sementara itu, Ketua Wanita UMNO Bahagian Ipoh Barat, Abashah Othman berkata, semua ahli pergerakan berkenaan menyokong penuh kenyataan Kamilia itu.

“Mohamed Nazri harus melihat kenyataan itu sebagai teladan untuk memperbaiki kesalahannya.

“Tidak perlu memperbesarkan lagi isu ini. Mengaku sahaja bertanggungjawab dan beliau boleh meneruskan tugasnya seperti biasa,’’ katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails