Isnin, 30 November 2009

Jangan Takbur Bila Becakap.

Nik Aziz patut salahkan diri sendiri

KOTA BHARU 30 Nov. - Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sepatutnya menyalahkan dirinya sendiri yang semakin menyimpang jauh apabila kepimpinannya mula dipertikaikan umum.

Sehubungan itu Pengasas Pondok Geting, Abdullah Sa'amah menggesa agar Mursyidul Am Pas itu tidak terus mempertahankan jawatannya supaya maruah dan harga dirinya terus terpelihara.

''Nik Abdul Aziz perlu segera melepaskan jawatan agar tidak merugikan lagi agama, bangsa dan negara," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Abdullah yang lebih dikenali sebagai Tok Guru Haji Lah berkata, biar pun dirinya mula menjadi sasaran cemuhan dan diperlekehkan, namun menjadi kewajipannya untuk bersama-sama membetulkan keadaan kerana tindak-tanduk Nik Abdul Aziz makin menyimpang.

''Biarpun saya dianggap tidak mempunyai tauliah dan cetek tentang perkembangan semasa, saya tetap terdedah kepada perkhabaran yang sesetengahnya sudah cukup jelas dan nyata.

''Bayangkan selama ini beliau cuba menyamakan sifat Tuhan dengan manusia seperti Tuhan mencarut dan samseng. Tetapi yang lebih memilukan saya dia menolak perpaduan sesama Islam dalam saat getir.

''Pemimpin parti seperti Haji Hadi dan Nasaruddin dihina sedemikian rupa hanya kerana mereka ingin mencari kebaikan. Malah sudah kedengaran janji memberikan status seimbang antara Islam dan bukan Islam apabila Pas dapat memerintah,'' katanya.

Sehubungan itu, katanya, adalah wajib bagi semua pihak menegakkan kebenaran dan membetulkan sebarang penyelewengan.

''Saya tidak punyai kepentingan lain selain mahu turut menghentikan segala penyimpangan yang berkait dengan nafsu politik," tegasnya.

Baru-baru ini Abdullah dilaporkan berkata Nik Abdul Aziz perlu bertanggungjawab dengan kekeliruan dan semaraknya perpecahan di kalangan umat Islam yang dicetuskan oleh kenyataan-kenyataan berhubung agama yang disesuaikan dengan kepentingan politiknya.

Katanya, sudah sampai masanya untuk beliau membuat teguran secara terbuka, biar pun akan dimusuhi kerana tindak-tanduk Nik Abdul Aziz sudah keterlaluan dan diselubungi rasa takbur.

Susulan itu, lidah rasmi Pas melaporkan Pusat Pembangunan Pondok Bhd (PPPB) tidak bertanggungjawab di atas kenyataan Abdullah yang tidak mempunyai tauliah mengajar.

Pemegang Amanah PPPB, Mohamad Awang dilaporkan berkata, kenyataan guru pondok terbabit hanya bersifat peribadi yang tidak selayaknya dikeluarkan oleh seorang yang bergelar ulama.

Guru pondok itu dikatakan sudah diketahui umum sebagai seorang yang berpendirian kontroversi dalam banyak isu agama kerana tidak mempunyai pendedahan mengenai perkembangan semasa.

Abdullah menjelaskan, beliau mengakui tidak diberikan tauliah sebelum ini, namun segala-galanya kerana sikapnya yang mempertahankan Pas sehingga kini.

''Saya belajar agama selama 37 tahun dan saya dapat membezakan tafsiran yang benar dan bukannya berteraskan nafsu serta menyimpang," katanya.

Beliau menarik perhatian mengenai kebimbangan tentang kemungkinan Pas tidak dapat mempertahankan keistimewaan orang Melayu Islam dan pemerintahan Islam dalam kerakusan untuk berkuasa.

''Hari ini apabila Pas menolak perpaduan kerana sanggahan keras Nik Abdul Aziz, beliau tidak mengutamakan kepentingan Melayu Islam dan pemerintahannya, maka seluruh orang Pas bersalah jika apa yang dibimbangi berlaku kelak," katanya.
Sumber Utusan Melayu 1 Dec 2009

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails