Ahad, 23 Ogos 2009

Berpecah Sebab Parti.....Agama Sama.

K'jaan T'ganu iktiraf 'masjid PAS'?
Ogos 22, 09 4:59pm
Kerajaan Terengganu diminta mewartakan bangunan yang dijadikan tempat mendirikan solat Jumaat oleh pemimpin dan anggota pembangkang sebagai masjid dalam usaha mengurangkan perpecahan di kalangan umat Islam di negeri ini akibat perbezaan fahaman politik.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita negeri Nawi Mohamad berkata kini terdapat sekurang-kurangnya enam bangunan yang dikenal pasti digunakan oleh pembangkang untuk mendirikan solat Jumaat kerana enggan menggunakan masjid yang dibina oleh kerajaan.

"Enam bangunan itu ialah di Kampung Awek dan Kampung Pak Sik di Hulu Besut, Padang Landak, Jerteh, Kampung Tok Sabuh, Kuala Besut, Kampung Lahar, Kota Putera dan Kampung Tok Dat, Jabi," katanya kepada pemberita di Besut hari ini.

Nawi yang juga ADUN Hulu Besut berkata pewartaan itu perlu dikendalikan pejabat agama selepas mengadakan perbincangan dengan pemimpin pembangkang kerana isu itu telah berlarutan sejak sekian lama.

Beliau mengulas masalah perpecahan di kalangan umat Islam di negeri ini ekoran perbezaan fahaman politik yang turut dibincangkan pada Mesyuarat Tindakan Daerah sebelum ini.

Isu solat Jumaat berasingan di negeri ini telah berlarutan sejak 1980-an dan hanya reda sedikit setelah PAS berjaya merampas tampuk pemerintahan kerajaan negeri pada tahun 1999.

Bagaimanapun apabila parti itu kalah dalam pilihan raya umum pada tahun 2004 dengan BN kembali berjaya memerintah, pemimpin serta pengikut parti pembangkang itu mula kembali menjadikan surau dan bangunan markas parti untuk mendirikan solat Jumaat.

Nawi berharap usaha itu akan diberi perhatian serius oleh pemimpin parti pembangkang bagi mengelakkan perpecahan di kalangan umat Islam di negeri ini. BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails