Ahad, 15 Ogos 2010

Pekerja Asing di malaysia.

Pekerja asing buat kecoh

SEBAHAGIAN daripada pekerja kilang yang berkumpul di balkoni asrama kerana tidak puas hati dengan kematian pekerja Nepal di Kawasan Perindustrian Tebrau, Johor Bahru semalam.

JOHOR BAHRU - Menyangkakan seorang rakan mereka mati akibat lambat dihantar ke hospital oleh majikan, lebih 5,000 pekerja warga asing sebuah kilang elektronik di Kawasan Perindustrian Tebrau di sini semalam mencetuskan kekecohan dengan berkumpul dan membuat bising di asrama lelaki kilang tersebut.

Malah ada di kalangan pekerja asing itu bertindak agresif dengan membaling kerusi dan sampah sarap ke kawasan asrama sebagai tanda protes berhubung kematian seorang rakan mereka membabitkan seorang lelaki Nepal berusia 20 tahun.

Kebanyakan 5,000 pekerja yang mendiami tiga blok asrama yang setiap blok setinggi empat tingkat itu berada di balkoni asrama dengan menunjukkan sikap tidak puas hati.

Bagaimanapun, keadaan tidak tenteram yang berlangsung selama tujuh jam bermula pukul 7 pagi itu berakhir menjelang pukul 2 petang dengan rundingan dilakukan oleh polis dan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU).

Rabu, 24 Mac 2010

Kahwin...pengantin lari

Lari enggan berkahwin
Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin
anbia@hmetro.com.my
2010/03/24

KUALA LUMPUR: Gara-gara tidak bersetuju dengan pilihan keluarga, seorang gadis berusia 19 tahun nekad melarikan diri dari rumah hanya beberapa bulan sebelum melangsungkan majlis perkahwinannya.Difahamkan gadis terbabit, Norsham Ahamed, 19, menghilangkan diri dari rumahnya di Taman Murni Cheras, Batu 9 di sini, selepas berselisih faham dengan bapanya, Ahamed Sha, 49, pada 10 Februari lalu.Ahamed yang ditemui berkata, Norsham menghilangkan diri dari rumahnya sejak lebih dua bulan lalu selepas berlaku pertengkaran kira-kira jam 9 pagi hari sama.
Menurutnya, pergaduhan berlaku apabila dia meminta supaya anaknya itu menjaga bapanya yang uzur di rumah manakala dia dan isteri keluar bekerja.“Mungkin dia berasakan permintaan saya itu sebagai satu bebanan apatah lagi dia menyatakan keinginan untuk berdikari dan bekerja selepas tamat persekolahan,” katanya.

Dia berkata, kehilangan anaknya itu hanya disedari apabila mendapati Norsham yang keluar dari rumah kira-kira jam 1.30 tengah hari dengan alasan untuk bertemu rakan tidak pulang.
“Dia hanya membawa beberapa helai pakaian ketika keluar dari rumah bagaimanapun MyKad miliknya ada pada saya. Sejurus kehilangannya itu, saya dan isteri berusaha mencarinya di sekitar kawasan perumahan, namun gagal.
“Saya tidak pasti punca dia melarikan diri, namun saya berasakan ia ada kaitan dengan majlis perkahwinan yang bakal berlangsung tidak lama lagi. Mungkin dia berubah hati dan mempunyai pilihan lain yang lebih sesuai dengan hatinya,” katanya.
Menurutnya, dia merayu supaya anaknya itu pulang ke pangkuan keluarga segera bagi menyelesaikan masalah itu.


“Perselisihan faham kecil itu boleh diselesaikan dan masalah terbabit turut boleh dibincangkan dengan keluarga asalkan dia sudi pulang ke pangkuan keluarga. Saya dan isteri amat merinduinya dan sudi untuk memaafkan kesilapannya itu.


“Orang ramai yang pernah melihat atau mengetahui di mana Norsham berada diminta menyalurkan maklumat kepada balai polis berdekatan atau menghubungi talian 03-92835022,” katanya.

Sabtu, 6 Mac 2010

Kesihatan Penting Untuk Manusia.

Tahap kesedaran rakyat tentang kesihatan masih rendah
06/03/2010 6:34pm

ALOR SETAR 6 Mac – Tahap kesedaran tentang penjagaan kesihatan pada kalangan rakyat Malaysia masih rendah dan kebanyakannya memandang remeh isu tersebut, kata seorang perunding kesihatan.

Dr. Siti Norishah Saad berkata, rata-rata rakyat negara ini hanya ke hospital selepas mengetahui mereka mempunyai penyakit selain tidak menitikberatkan konsep ”mencegah itu lebih baik daripada merawat”.

"Ini satu fenomena yang tidak baik kerana sepatutnya mereka perlu mencegah penyakit sebelum penyakit itu menyerang kita,” katanya kepada pemberita selepas Forum Kesihatan ”Inovasi Terkini Penyampai Makanan Tambahan Melalui Teknologi Suspensi”, di sini hari ini.

Dr. Siti Norishah berkata, berdasarkan satu kajian, rakyat Malaysia juga tidak mengamalkan pengambilan makanan tambahan untuk menampung keperluan vitamin dan mineral oleh badan mereka.

"Kajian menunjukkan hanya 30 peratus rakyat Malaysia mengambil makanan tambahan berbanding 56 peratus di Amerika Syarikat.

"Jika rakyat tidak mengamalkan tabiat makanan yang baik dan tidak dapat menampung keperluan vitamin, mineral dan keperluan-keperluan asas lain badan, mereka perlu mengambil makanan tambahan supaya dapat memperbaiki dan menampung kekurangan nilai nutrisi makanan mereka,” katanya. – Bernama

Ahad, 14 Februari 2010

Gomol Klate Gomol

Ku Li sedia dihukum

KOTA BHARU - Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li) menegaskan beliau tetap ahli UMNO dan sanggup menerima apa tindakan disiplin yang akan diambil ke atasnya sekiranya tindakan beliau menggunakan platform NGO untuk menerangkan kedudukan sebenar berhubung royalti minyak dianggap menyalahi undang-undang dan perlembagaan parti.

Pegawai Khasnya, Mohd Lokman Ghani berkata, tindakan Tengku Razaleigh itu adalah berasaskan pendiriannya yang ingin menyampaikan kebenaran kepada rakyat berhubung isu tuntutan royalti minyak yang dibuat oleh Kerajaan Negeri Kelantan.

“Saya merasa kecewa dengan kenyataan Timbalan Perdana Menteri (TPM) yang juga Timbalan Presiden Parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang seolah-olah tidak faham dan masih tidak faham tentang pendirian Ku Li.

“Sedangkan Ku Li sudah beberapa kali telah ditegaskan bahawa beliau berucap di pentas NGO.

“Saya hairan adakah TPM, Perdana Menteri dan ahli parti semua mendengar ucapan Ku Li. Saya harap dengar dari awal hingga akhir. Apakah kenyataannya itu melanggar perlembagaan dan disiplin parti,” katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi, semalam.

Lokman berkata, Ku Li bersedia menerima apa sahaja tindakan yang akan diambil terhadap beliau memandangkan pendiriannya jelas dan tidak mahu diheret sama untuk berbohong kepada rakyat.

“Kalau kerajaan bohong takkan Ku Li nak ikut kerajaan berbohong. Terpulang kepada parti sama ada beliau bersalah atau tidak kerana apa hendak disampaikan beliau ialah undang-undang dan perjanjian yang telah ditandatangani memandangkan beliau sendiri yang telah menandatangani dan beliau lebih mengetahui soal ini.

“Apa yang hendak disampaikan adalah perkara yang benar. Beliau tidak mahu berbohong dan mahu bercakap benar. Apakah kenyataan benar dan tepat itu bercanggahan dengan kehendak parti. Apakah Ku Li perlu diseret sama untuk berbohong kepada rakyat semua,” katanya.

Mengulas mengenai wujud dakwaan yang kononnya Ku Li memberikan kenyataan yang berbeza dalam isu tuntutan royalti bagi Kelantan dan Terengganu, Lokman berkata, Ku Li tidak pernah mengeluarkan kenyataan yang berbeza kerana masa kes di Terengganu beliau sanggup menjadi saksi (sewaktu kerajaan Pas tuntut royalti minyak dari Kerajaan Pusat) sekiranya dibawa ke mahkamah.

Katanya, perjanjian royalti minyak itu cukup mudah iaitu apabila dalam tiga batu nautika ia memang hak Kerajaan Negeri 100 peratus sepatutnya.

“Tidak sepatutnya dapat langsung (dalam tiga batu nautika) kepada Kerajaan Pusat. Tapi apabila Kerajaan Pusat bersama Kerajaan Negeri memikirkan bahawa tidak ada minyak di dalam tiga batu nautika ini maka ada perjanjian bahawa jika terdapat minyak di dalam tiga batu nautika atau lebih hasil minyak diserahkan kepada Petronas. Dan Petronas mesti membayar hasil sebanyak 5 peratus kepada Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri.

“Itu asas perjanjian. Dalam kedudukan tiga batu nautika ini Kerajaan Negeri sepatutnya tidak memberi satu sen pun kepada Kerajaan Pusat kerana itu memang hak Kerajaan Negeri.

“Tetapi berdasarkan kepada kajian besar kemungkinan minyak tidak ada di dalam kawasan tiga batu nautika, minyak semua berada di luar tiga batu nautika jadi Kerajaan Negeri pada masa itu bertimbang rasa dan Petronas pun sepatutnya bertimbang rasa,” katanya.

Sehubungan itu beliau menegaskan, adakah disebabkan kenyataan Ku Li berbeza dengan Kerajaan Pusat, maka beliau diheret sekali untuk berbohong.

“TPM sepatutnya dimaklumkan perkara yang betul apa yang telah disampaikan oleh Ku Li dan bukannya maklumat yang tidak tepat. Kerana Ku Li berceramah di atas platform NGO iaitu Gerakan Tuntut Royalti Rakyat Kelantan (Gegar),” katanya.

Lokman berkata, kenyataan Muhyiddin juga bertentangan dengan kenyataan Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz..

“Sehari sebelum Ku Li menyampaikan ceramah tersebut Ahmad dan Nazri menyatakan ia bukan halangan, sekarang lain pula," katanya.

Rabu, 10 Februari 2010

Rakyat Miskin Patut dibantu

Selangor maju tapi kedekut - Penduduk miskin cuma dapat RM930 setahun

PENDUDUK miskin di Selangor dikatakan hanya menerima bantuan kebajikan secara purata RM930 seorang sepanjang tahun. - Gambar hiasan

KLANG – Selangor yang diperintah pakatan pembangkang didakwa masih tidak mampu memperuntukkan bantuan secukupnya untuk rakyat miskin di negeri sendiri walaupun ia sudah lama berstatus negeri maju.

Ini berasaskan kepada nilai bantuan kebajikan kerajaan negeri sebanyak RM6.3 juta yang diagihkan untuk 6,793 orang penduduk miskin di negeri itu atau bersamaan RM930 seorang sepanjang tahun.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, kerajaan pakatan pembangkang negeri itu sepatutnya mengambil iktibar daripada dana sumbangan Kerajaan Pusat menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berjumlah RM61.5 juta setahun.

Katanya, dana itu yang disumbangkan kepada 27,584 penerima bermakna setiap rakyat miskin di Selangor mendapat lebih RM2,200 seorang.

Rabu, 3 Februari 2010

1 malaysia..

1M'sia: Najib gagal ajar pegawainya, kata PAS
Feb 4, 10 10:18am
PAS bertegas untuk mendesak polis melakukan siasatan dan membuat pendakwaan terhadap pegawai khas perdana menteri, Datuk Nasir Safar yang didakwa membuat kenyataan yang menghina kaum India dan Cina di negara ini.

"PAS sesekali tidak berkompromi dengan mana-mana pihak yang mempertikaikan hak mana-mana kaum yang sah taraf sebagai warganegara ini," kata ketua penerangan PAS, Idris Ahmad.

"Nasir perlu dibicarakan kerana jelas pandangannya itu telah menghina intitusi Perlembagaan negara ini yang menjamin hak setiap warganegara tanpa mengira kaum," katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Idris lagi, walaupun Nasir menafikan itu pendirian perdana menteri, namun ia menunjukkan Datuk Seri Najib Tun Razak gagal mengajar pegawainya memahami gagasan 1Malaysia yang dicanangkannya.

"Jika pegawai yang rapat dengan beliau boleh menganggap gagasan itu sebagai remeh, bagaimana rakyat mahu percaya keikhlasan Najib terhadap dasar berkenaan," katanya.

Sehubungan itu, Idris berkata, PAS mahu Nasir didakwa segera di mahkamah.

Menurutnya, jika penulis blog yang didakwa menghina institusi beraja dinegara ini bioleh dibicarakan, maka Nasir juga harus menerima tindakan yang serupa, walaupun akan meletakan jawatan.

Khamis, 28 Januari 2010

Jangan Main Api.


Kepala babi dilontar dalam perkarangan dua masjid
Jimadie Shah Othman
Jan 27, 10
10:55am
dikemaskini 2.50pm Kepala babi ditemui dilontarkan ke dalam perkarangan dua buah masjid sekitar Jalan Klang Lama hari ini
Kepala babi berkenaan dijumpai di perkarangan Masjid Jumhuriyah, Taman Datuk Harun di Petaling Jaya dan Masjid Al-Imam Al-Tirmizi, Taman Seri Sentosa, Jalan Klang Lama.
Insiden itu merupakan yang terbaru perbuatan merosak dan mencemarkan rumah-rumat ibadat sepanjang tiga minggu lalu, yang membabitkan 11 gereja, sebuah kuil Sikh, sebuah masjid dan dua surau.
Serangan ini dipercayai ada kaitan dengan keputusan Mahkamah Tinggi pada 31 Disember lalu yang membenarkan bukan Islam menggunakan kalimah Allah sebagai terjemahaan untuk 'God'.

Menurut saksi, dua kepala babi dijumpai oleh jemaah di perkarangan masjid ketika datang hendak menunaikan solat Subuh pada jam 5.30 pagi.

Selain kepala babi, kepingan wang kertas juga ditemui ditaburkan di di situ.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dan pegawainya datang untuk menyiasat kawasan kejadian.

Wang juga dijumpai bertaburan

Sementara itu, satu beg plastik yang berisi dua kepala babi hutan di temui di tempat letak kereta Masjid Al-Imam Al-Tirmizi oleh seoang penduduk, Sharif Shaari, 57, yang datang pada jam 5.45 pagi tadi untuk mengerjakan solat Subuh.

Sharif, seorang peniaga, bersama seorang kawannya ternampak beg plastik itu tetapi tidak menyangka ia berisi kepala babi, lalu mereka terus masuk ke masjid untuk mengerjakan solat.

Selepas mengerja solat Subuh, mereka keluar semula untuk memeriksa beg tersebut dan terkejut apabila mendapati ia mengandungi dua kepala babi hutan.

Mereka juga ternampak kepingan wang kertas ditaburkan di situ. Ia termasuk sekeping wang RM1, RM5 dan RM10 - kesemunya bernilai kira-kira RM35.

Mereka kemudian terus masuk semula ke masjid dan memaklumkan perkara itu kepada imam masjid berkenaan, Zulkifli mohamad.

Seorang daripada mereka menelefon pihak polis yang tiba kira-kira 6.40 pagi tadi.

Bungkusan lutsinar

Manakala di Masjid Jumhuriyah Taman Datuk Harun, Petaling Jaya - berdekatan dengan lebuh raya Pantai Baharu (NPE) - terdapat dua kepala babi hutan ditemui di perkarangan masjid berdekatan di pintu belakang kira-kira jam 6 pagi tadi oleh anak kariah.

Jarak antara kedua-dua masjid tersebut adalah sejauh 3km.

Saksi kejadian, Mohd Hilmi Bakri, 20, seorang pelajar berkata ketika beliau ke masjid berkenaan untuk menunaikan solat Subuh, beliau ternampak kira-kira 20 orang sedang berkerumun melihat sebuah bungkusan lutsinar.

Berdekatan dengan bungkusan itu juga terdapat 30 wang kertas RM1. Mereka membiarkannya kerana menyangka bungkusan mengandungi bayi yag dibuang.


Kemudian, seorang pegawai masjid menghubungi pihak polis kira-kira jam 6.30 pagi. Dua anggota polis tiba dan membuka bungkusan tersebut, dan mendapati ia berisi kepala babi hutan.

Selepas itu, dua kereta peronda polis datang dan mengambil kepala babi hutan itu kira kira jam 7.30 pagi tadi.

Sementara itu, timbalan nazir masjid berkenaan, Hasbullah Zainal berkata beliau kesal dengan kejadiaan tersebut yang tidak pernah terjadi sebelum ini.

Beliau juga meminta anggota kariah supaya bertenang dan menyerahkannya kepada pihak keselamatan untuk menyiasat kejadian itu.
Related Posts with Thumbnails