
Raisuddin, isteri kedua diarah tinggal berasingan
SHAH ALAM 21 Dis. - Selepas lebih dua tahun hidup bersama, Raisuddin Hamzah dan isteri keduanya, Siti Fatimah Suberi hari ini diperintah tinggal berasingan oleh Mahkamah Tinggi Syariah di sini sehingga perkahwinan mereka disah dan didaftarkan.
Hakim Syarie, Abu Zaky Mohammad mengeluarkan perintah sementara yang berkuat kuasa hari ini selepas membenarkan permohonan bapa Siti Fatimah, Suberi Abdullah, 49, untuk menghalang pasangan itu daripada tinggal serumah.
Beliau dalam penghakimannya berkata, permohonan Suberi selaku plaintif adalah bersesuaian memandangkan kes pengesahan pernikahan Raisuddin, 53, dan Siti Fatimah, 22, masih dalam prosiding di mahkamah, belum disah mahupun didaftarkan.
''Saya dapati permohonan (injunksi sementara) ini bersesuaian dengan taraf (status) perkahwinan sehingga satu perintah pengesahan dibuat oleh mahkamah.
''Dengan itu mahkamah membenarkan permohonan supaya responden pertama (Raisuddin) dan responden kedua (Siti Fatimah) tinggal berasingan sehinggalah perkahwinan kedua-dua pihak disahkan," katanya.
Abu Zaky dalam penghakiman ringkas turut menegur semua pihak agar lebih prihatin dengan status perkahwinan tersebut lebih-lebih lagi ia melibatkan isu poligami.
Katanya, undang-undang yang sedia ada diwujudkan bagi memastikan setiap perkahwinan dikendalikan secara teratur serta mematuhi syarat-syarat dan prosedur sebelum ia dapat disahkan.
Pernikahan Raisuddin yang juga penyanyi era 80-an dengan Siti Fatimah di Songkhla, Thailand pada 2 Januari 2007 menimbulkan kontroversi apabila Suberi memfailkan permohonan untuk membubarkan perkahwinan itu secara faraq.
Beliau membuat permohonan itu dengan alasan Siti Fatimah bermastautin di Selangor dan dia sebagai wali mujbir langsung tidak dimaklumkan tentang perkahwinan itu.
Bapa Siti Fatimah kemudiannya memfailkan permohonan pada 17 Mac 2007 untuk mendapatkan perintah injunksi sementara bagi menghalang pasangan itu daripada tinggal serumah dan menjalankan kehidupan sebagai suami isteri sehingga rayuan pengesahan pernikahan mereka diputuskan.
Sementara itu, permohonan yang dikemukakan oleh Raisuddin dan Siti Fatimah untuk mengesahkan pernikahan mereka pula akan dibicarakan di Mahkamah Tinggi Syariah berasingan pada 10 Februari depan.
Kes itu dibawa ke mahkamah yang lebih tinggi ekoran keputusan Hakim Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur pada 5 Februari lalu yang menolak permohonan Raisuddin untuk mengesahkan pernikahannya dengan Siti Fatimah.
Mahkamah Rendah Syariah tersebut turut menolak permohonan Suberi untuk membubarkan perkahwinan anaknya dengan bapa penyanyi popular Siti Sarah itu secara faraq kerana tiada bidang kuasa untuk berbuat demikian.
Raisuddin dan Siti Fatimah yang diwakili peguam syarie Norazmi Mohd. Arif, hadir dengan memakai pakaian berwarna putih. Sementara Suberi yang datang berasingan diwakili peguam syarie Roshdan Sujak Rafie.
Dr. Rosli, Ilyani diperintah tidak tinggal bersama
KOTA BHARU 21 Dis. - Mahkamah Tinggi Syariah di sini hari ini memerintahkan Ketua Penerangan Dewan Pemuda Pas negeri, Dr. Rosli Allani Abd. Kader (gambar) tinggal berasingan dengan isteri keduanya sehingga permohonan bapa mertuanya untuk membatalkan perkahwinan mereka diputuskan.
Perintah 'mufarakah' (memisahkan) sementara menegah Dr. Rosli Allani, 35, bekas pegawai khas kepada seorang anggota Exco daripada tinggal bersama pasangannya, Ilyani Mohd. Noor, 30, itu dikeluarkan oleh Hakim Syarie Mohd. Yusof Awang.
Plaintif, Mohd. Noor Che Man, 58, seorang ahli perniagaan di sini memohon supaya pernikahan defendan pertama dengan Ilyani selaku defendan kedua dibatalkan kerana percaya perkahwinan mereka di Masjid Lapangan Terbang Subang, Selangor pada 26 Disember 2008, tidak sah.
Mohd. Noor diwakili peguam syarie, Mohd. Zaki Zainal Abidin manakala Dr. Rosli Allani dan Ilyani diwakili peguam syarie, Mustafa Kamal Mat Hassan. Bagaimanapun Ilyani tidak hadir di mahkamah.
Mohd. Zaki memaklumkan, plaintif tidak bersetuju dengan permohonan defendan pertama supaya perkahwinan dengan defendan kedua dilakukan semula untuk menyelesaikan perkara tersebut di luar mahkamah.
Mahkamah menetapkan perbicaraan didengar pada 26 April tahun depan.
Dalam pernyataan tuntutan, plaintif meragui perkahwinan tersebut memandangkan tatacara pernikahan tidak memenuhi rukun dan syarat.
Selain itu, plaintif merujuk surat penjelasan oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JAWI) bahawa dokumen perakuan nikah pasangan itu tidak dikeluarkan dan tidak tercatat dalam buku daftar perkahwinan jabatan berkenaan.
''Plaintif yakin semasa perkahwinan, anak perempuannya mustahil dalam keadaan sedar kerana bertindak sedemikian tanpa kebenaran pihaknya.
"Oleh yang demikian plaintif yakin defendan pertama bukan lelaki atau suami yang baik, sekufu (sama taraf dari segi keturunan, pangkat dan tahap pembelajaran) dan mempunyai niat yang tidak baik dengan menipu untuk tujuan perkahwinan tersebut," ujar plaintif dalam penyata tuntutannya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan