Khamis, 24 Disember 2009

Cerdik Tapi Lembam

Orang Pas sendiri jadi dalang?

Oleh RAHANA MOHD. DAHARI
utusankelantan@utusan.com.my

KOTA BHARU 23 Dis. – Sindiket yang menguruskan majlis pernikahan Ketua Penerangan Pemuda Pas Kelantan, Dr. Rosli Allani Abd. Kadir dan isteri keduanya di Selangor, dipercayai didalangi oleh seseorang yang mempunyai jawatan dalam parti itu.

Bekas imam muda itu turut dipercayai telah menikahkan beberapa lagi pemimpin Pas pelbagai peringkat kerana mempunyai hubungan baik dengan mereka dan kewibawaannya diyakini berdasarkan latar belakang pendidikan agama dan peranannya.

Difahamkan, bayaran yang dikenakan adalah antara RM3,000 hingga RM4,000 bagi orang kenamaan dengan jaminan mendapat sijil dan kad perkahwinan yang didaftarkan oleh jabatan agama Islam.

Semalam, Rosli dalam sidang akhbarnya mengaku dia dan isterinya, Ilyani Mohd. Noor, 30, menjadi mangsa sindiket perkahwinan yang diuruskan oleh seorang bekas imam muda di negeri Selangor.

Beliau bagaimanapun telah diberikan sijil dan kad perkahwinan yang tidak didaftarkan walaupun menjanjikan perkara sebaliknya.

Kelmarin, Mahkamah Tinggi Syariah di sini memerintahkan Rosli tinggal berasingan dengan isteri keduanya itu sehingga permohonan bapa mertuanya, Mohd. Noor Che Man untuk membatalkan perkahwinan mereka diputuskan.

Ekoran itu juga, semalam Rosli mengumumkan peletakan semua jawatan dalam Pas agar masalah peribadinya tidak menjejaskan parti.

Surat perakuan nikah yang dilampirkan dalam pernyataan tuntutan pembatalan perkahwinan pasangan itu kononnya dikeluarkan oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) yang ditandatangani oleh Haji Abdullah Hishamuddin atas jawatan Pendaftar Nikah, Cerai, dan rujuk Jawi.

Bagaimanapun Jawi pula melalui pendaftar sebenarnya, Abdullah Hashim telah memaklumkan kepada Mohd. Noor dalam sepucuk surat bahawa surat perakuan itu tidak dikeluarkan dan tidak tercatat dalam buku daftar perkahwinan.

Sementara itu, Pengarah Jawi, Datuk Che Mat Che Ali ketika dihubungi memberitahu, beliau belum dimaklumkan lagi mengenai kes tersebut yang mengaitkan dokumen dan pegawai Jawi.

Che Mat berkata, kes terakhir membabitkan sindiket pernikahan yang dikesan oleh pihaknya berlaku pada tahun 2006 yang dibongkar secara besar-besaran.

‘‘Jika apa yang didakwa itu benar, perkara ini akan disiasat hingga ke akar umbi serta tindakan tegas akan diambil terhadap pihak terlibat untuk menjaga nama baik dan kepentingan jabatan,’’ katanya.

Che Mat berkata, sejak tahun lalu, Jawi telah menggantikan sijil perkahwinan daripada bentuk sekeping kertas kepada kad pintar yang mengandungi cip ciri-ciri keselamatan.

‘‘Kad pintar seperti kad pengenalan oleh Jabatan Pendaftaran Negara itu mengandungi enam ciri-ciri khas untuk keselamatan,” katanya.

Mengenai pasangan yang ingin berkahwin menggunakan khidmat orang tengah, Che Mat menasihatkan mereka agar merujuk kepada jabatan agama tempat mereka dinikahkan terlebih dahulu.

‘‘Jika pasangan tidak menyiasat sebelum bernikah, kita bimbang ia akan mendatangkan kesulitan pada kemudian hari,” ujarnya

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails