Rabu, 23 Disember 2009

MB Terengganu Lantikan Raja

MB sumpah tak seleweng
Oleh Shaarani Ismail dan Baharom Bakar
am@hmetro.com.my

KUALA TERENGGANU: Menteri Besar, Datuk Ahmad Said yang sering dikaitkan dengan tuduhan penyelewengan dalam pelaksanaan pelbagai projek dalam pentadbirannya oleh kumpulan tertentu, semalam, melafazkan sumpah secara terbuka ketika Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi menafikan semua dakwaan berkenaan.Ahmad berkata, semua projek yang dilaksanakan dalam pentadbirannya termasuk pemberian kurma dan air zamzam mengikut prosedur dan bertujuan memanfaatkan rakyat semata-mata.

“Dengan nama Allah, Bismillahirrahmanirrahim, wallahi, wabillahi, wataallahi...tidak ada penyelewengan, rasuah dalam kes ini atau dalam kes lain. Saya telus. Saya boleh jelaskan hal ini demi kepentingan rakyat.

“Saya sedih apabila ada wakil rakyat mempersoalkan mengenai pemberian kurma dan air zamzam, malah ada andaian berlaku penyelewengan,” katanya sambil menambah bungkusan kurma diagihkan kepada rakyat Terengganu dengan kos RM20 seunit itu berpatutan dan tidak ada sebarang penyelewengan dalam pemberian kontrak pembelian tiga jenis kurma dan air zamzam itu.Pada Ramadan lalu, kerajaan negeri memperuntukkan RM8.3 juta untuk memberi pek kurma dan air zamzam kepada lebih 300,000 isi rumah di negeri ini.
Beliau mengulas mengenai soal pengagihan air zamzam dan kurma yang dibangkitkan Alias Abdullah (BN-Alur Limbat) dalam sesi perbahasan bajet, semalam.

Sepanjang persidangan sejak tiga hari lalu, antara persoalan dibangkitkan ialah mengenai pemberian kontrak melombong bijih besi di Bukit Besi, kontrak pemberian baju sekolah kepada pelajar miskin dan dasar rundingan terus yang dilakukan kerajaan negeri dalam soal pembaikan dan penurapan jalan.Ahmad berkata, wakil rakyat sama ada pembangkang atau penyokong kerajaan, tidak seharusnya menggunakan keistimewaan dewan untuk membuat tuduhan bukan-bukan terhadap kerajaan negeri mahupun pegawai kanan beliau yang tidak berpeluang untuk menjawabnya.

“Kalau rasa ada penyelewengan dan rasuah, silakan (bangkitkan) di luar dewan.

“Sebab dalam polisi SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) jelas, kalau buat tuduhan yang mana terbukti tidak benar, orang (yang dituduh) itu boleh ambil tindakan dan mendakwa orang berkenaan kerana fitnah. Jangan guna hak istimewa dewan ini dengan membuat dakwaan bukan-bukan,” katanya.Selain isu air zamzam dan kurma, beliau turut menjelaskan mengenai isu pengisian minyak kenderaan milik kerajaan negeri seperti yang dibentangkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2008.Mengikut laporan itu, tiga kenderaan milik kerajaan negeri dikesan mengisi minyak berjumlah RM602.37 dalam tempoh 16 minit pada hari dan daripada pam minyak sama.

Menjelaskan punca kekeliruan itu, Ahmad berkata, dakwaan penyelewengan itu tidak berlaku kerana daripada penjelasan pemandu terbabit, semua kereta bergerak dalam konvoi dan hanya seorang pemandu yang membawa kad minyak dan mengisi minyak untuk ketiga-tiga kenderaan.“Kerajaan memandang serius perkara itu dan ia perlu diperjelaskan dalam dewan yang mulia ini,” katanya.Beliau juga menjelaskan mengenai sektor pelancongan yang akan dijadikan sebagai sumber ekonomi penting negeri pada masa akan datang untuk mengelak kebergantungan kepada hasil royalti minyak daripada Kerajaan Pusat.Katanya, kerajaan negeri perlu mencari alternatif jangka masa panjang untuk menjana ekonomi negeri kerana minyak di perairan Terengganu akan habis pada suatu hari nanti.

“Daripada RM1.888 bilion yang diperuntukkan dalam Bajet Terengganu tahun depan, 92 peratus daripadanya diperoleh melalui sumber Kerajaan Pusat melalui Dana Khas Kerajaan Pusat, yang tidak lama lagi, insya-Allah akan menjadi wang royalti.
“Untuk itu, usaha yang perlu kita lakukan ialah menjana pendapatan negeri pada masa depan melalui sektor pelancongan dan ia akan diletakkan sebagai tulang belakang ekonomi Terengganu,” katanya.

Komen : Inilah kalau lantikan dari raja...jawatan ini di Malaysia dilantik oleh pemilihan dari parti yang menang. Ramai YB Adun tidak setuju maka timbullah percangahan pendapat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails