Khamis, 31 Disember 2009

Hakim Tak Betul

Mahkamah: Larangan guna perkataan 'Allah' tidak sah
Hazlan Zakaria
Dis 31, 09
6:17pm
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini memutuskan bahawa larangan Kementerian Dalam Negeri (KDN) terhadap penggunaan perkataan 'Allah' adalah tidak sah.

Berikutan itu, mahkamah membenarkan permohonan Gereja Katholik untuk mengetepikan larangan tersebut.

Hakim Lau Bee Lan berkata arahan oleh menteri dalam negeri itu adalah 'tidak sah dan batal”.

Menurutnya, akhbar mingguan The Herald boleh menggunakan perkataan 'Allah' dan menegaskan bahawa perkataan tersebut bukan hanya ekslusif untuk Islam sahaja.

Keputusan mahkamah mengetepikan larangan KDN itu, akan memboleh The Herald dan penerbitan bukan Islam yang lain, menggunakan perkataan 'Allah' sebagai terjemahan bagi perkataan 'Tuhan' dalam versi bahasa Melayu mereka.

Hakim Lau berkata semua rakyat Malaysia mempunyai hak perlembagaan untuk menggunakan perkataan 'Allah'.

Bagaimanapun, memandangkan implikasi kes ini, KDN dijangka memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi hari ini.

Isnin, 28 Disember 2009

Islam Di Mata

Mentua kepung rumah
Oleh Mohd Sabran Md Sani
sab@hmetro.com.my

KOTA BHARU: Suasana tegang menyelubungi perkarangan rumah isteri kedua bekas Ketua Penerangan Dewan Pemuda Pas Kelantan, Dr Rosli Allani Abd Kadir, 35, di Kampung Telipot di sini, semalam, apabila dikepung sekumpulan lelaki yang tidak berpuas hati dengan tindakan pasangan terbabit yang didakwa enggan mematuhi perintah mahkamah syariah mengarahkan mereka dimufarakah (dipisahkan) sehingga perbicaraan kes mereka selesai.

Tindakan mengepung kediaman Dr Rosli dan isteri, Ilyani Mohd Noor, 30, itu dipercayai dilakukan selepas bapa mentuanya, Mohd Noor Che Man, 58, tidak berpuas hati dengan tindakan pasangan terbabit yang didakwa gagal mematuhi perintah mufarakah dikeluarkan Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Kota Bharu, Mohd Yusof Awang pada 21 Disember lalu.

Difahamkan, Dr Rosli bersama Ilyani dikatakan pulang ke rumah sewa terbabit kira-kira jam 9 pagi semalam selepas beberapa hari menghilangkan diri tanpa dapat dikesan bapa mentuanya.Sebaik mendapat tahu kepulangan Ilyani dan Dr Rosli, Mohd Noor meminta bantuan beberapa rakannya mengepung rumah berkenaan, kira-kira jam 3 petang.Keadaan menjadi tegang apabila satu lagi kumpulan dipercayai penyokong Dr Rosli tiba dan mengawal rumah dua tingkat itu sebelum melarang mana-mana pihak membuat liputan atau merakamkan gambar.Bagi memastikan keadaan terkawal, beberapa anggota polis mengawal persekitaran rumah itu bagi mengelak kejadian tidak diingini.Kira-kira jam 7.15 malam tadi, Mohd Noor yang menaiki sebuah kenderaan pacuan empat roda berwarna putih tiba di perkarangan rumah terbabit.Dia kemudian dilihat berbincang dengan beberapa rakan sebelum meminta mereka tidak menimbulkan sebarang kekecohan, sebaliknya terus menunggu di depan rumah terbabit hingga jam 8 pagi esok (hari ini).

Kira-kira jam 7.30 malam, Mohd Noor dilihat berbual dengan Ilyani dari luar rumah itu dan meminta anak sulungnya itu menunjukkan surat nikah yang mengesahkan mereka sudah berkahwin secara sah.Bagaimanapun, permintaan Mohd Noor untuk melihat kandungan surat terbabit tidak dipenuhi anak perempuannya itu sebelum seorang lelaki mengarahkan Dr Rosli menutup pintu rumah berkenaan.
Ketika ditemui untuk mengulas perkara itu, Mohd Noor berkata tindakan mengepung rumah anaknya itu akan dilakukan sehingga dia memohon waran tangkap pasangan berkenaan daripada mahkamah syariah, hari ini.“Kita perlu tunggu sampai esok (hari ini) untuk mendapatkan surat daripada hakim Mahkamah syariah Kota Bharu. Kita perlu tunggu (kepung) untuk elak dia (Dr Rosli) lari. Kalau dia lari, tidak ada bukti.

“Surat kebenaran untuk mendapatkan waran tangkap perlu. Sekarang waran tangkap belum dikeluarkan lagi kerana waktu pejabat sudah habis dan penguat kuasa tidak boleh berbuat apa-apa,” katanya ketika ditemui di perkarangan rumah terbabit, malam tadi.Mohd Noor mendakwa Dr Rosli melanggar perintah mahkamah syariah yang mengarahkannya tinggal berasingan dengan Ilyani sehingga kes tuntutan pembatalan perkahwinan difailkan terhadapnya selesai.

“Dia melanggar arahan sebab mahkamah sudah putuskan pada perbicaraan 21 Disember lalu untuk mereka mufarakah dan nampaknya dia (Dr Rosli) melanggar peraturan yang melarang mereka tinggal bersama hingga kes selesai.“Sekarang jelas mereka berada bersama. Saya pun tak tahu siapa lagi ada di dalam (rumah). Dia (anak perempuan) sudah lama menyewa rumah ini dan baru balik pagi tadi (semalam),” katanya.Menurutnya, sebaik melepaskan jawatan pada 22 Disember lalu, anak perempuannya gagal dikesan sebelum menghantar pesanan melalui Internet mengesahkannya selamat dan sedang berehat.
“Bila saya balik ke rumah, dia (anak) tidak boleh dikesan. Tapi, bila saya periksa dia hantar mesej dan kata selamat. Kenyataan itu dikeluarkan dalam sebuah laman sosial yang turut menyatakan dia nak pergi berehat.
“Kalau dia (anak) kata nak pergi rehat, saya banyak rumah rehat dan saya boleh bagi. Saya boleh bagi rumah di Shah Alam, apartmen di sini pun ada dan dia perlu pergi sendiri dan mengapa perlu lari,” katanya.

Pada prosiding 21 Disember lalu, Dr Rosli diperintahkan Mahkamah Tinggi Syariah Kota Bharu supaya berpisah dan tinggal berasingan dengan Ilyani sehingga kes mereka dibicarakan pada 26 April depan.

Perintah itu dikeluarkan selepas bapa mentuanya menolak hasrat Dr Rosli untuk mengadakan perbincangan bagi mencari jalan penyelesaian di luar mahkamah.

Hakim Mohd Yusof Awang dalam keputusannya memerintahkan pasangan terbabit mematuhi perintah mufarakah yang dikeluarkan sejak 9 November lalu.

Mahkamah juga akan memberi keutamaan terhadap kes berkenaan dengan mempercepatkan perbicaraan bagi mendapatkan jalan penyelesaian kerana menyentuh kepentingan awam dan hukum syarak.Mohd Noor dalam penyataan tuntutan pembatalan perkahwinan anaknya menamakan Dr Rosli serta Ilyani sebagai defendan pertama dan kedua.Berdasarkan afidavit yang terkandung dalam pernyataan itu, Mohd Noor selaku bapa kandung dan wali mujbir (wali sah) kepada Ilyani mendakwa pasangan itu berkahwin di Masjid Subang Airport, Selangor, pada 26 Disember 2008.

Dia tidak bersetuju dengan perkahwinan itu disebabkan mengesyaki tidak memenuhi rukun dan syarat perkahwinan kerana mendakwa tatacara perkahwinan serta surat akuan nikah terbabit adalah dokumen tidak sah.

Jumaat, 25 Disember 2009

Kronologi Orang Luar

Demi Islam, orang Kelantan rela undi calon luar
Subky Abdul Latif
Dis 24, 09
6:52pm
Dalam pilihan raya umum yang pertama pada 1959, sama seperti pilihan raya umum sebelumnya pada 1955, pilihan raya peringkat Parlimen tidak dijalankan serentak dengan pilihan raya di negeri-negeri.

Malah pilihan raya negeri-negeri pula tidak serentak. Ia dimulakan di Perlis, kemudian di Kedah dan dari satu negeri ke satu negeri hinggalah yang terakhirnya di Kelantan. Selepas semuanya selesai, barulah diadakan pilihan raya Parlimen.

Hasil daripada pilihan raya-pilihan raya negeri itu, PAS kalah di semua negeri kecuali Terengganu dan Kelantan.

Keputusan itu menyebabkan PAS membuat strategi meletakkan sebahagian daripada barisan pemimpin nasionalnya bertanding di Kelantan dan Terengganu supaya pemimpin-pemimpin pentingnya dapat dihantar ke Parlimen.

Jika tidak dibuat demikian, sukar untuk menempatkan pemimpin-pemimpin penting itu ke Parlimen dan institusi penting itu mempunyai anggota-anggota berkaliber.

Maka keputusan itu dirundingkan dengan PAS di negeri-negeri berkenaan; Kelantan dan Terengganu bersetuju untuk menerima calon dari luar. PAS menghantar empat tokoh bertanding di Kelantan dan tiga di Terengganu.

Mereka yang bertanding di Kelantan termasuklah profesor Zulkifli Mohamad, Datuk Raja Hanifah, Othman Abdullah dan Haji Ahmad Perai. Di Terengganu pula, Dr Burhanuddin al-Hilmi, Hasan Adli dan Khadijah Sidik.

Bukan PAS saja yang membuat strategi demikian. Parti Negara kalah di semua negeri kecuali beberapa orang berjaya di DUN Terengganu telah mengadakan perundingan dengan PAS, maka PAS memberi laluan kepada Datuk Onn Jaafar bertanding di Terengganu.

Onn, sebagai yang dipertua agung Parti Negara, kalah di Batu Pahat dalam pilihan raya umum tahun 1955 dan beliau juga kalah dalam satu pilihan raya kecil di Johor selepas itu.

Dengan beberapa kerusi DUN yang dimenangi oleh Parti Negara belum memungkinkan Onn menang kerana kawasan yang dimenangi partinya itu tidak dalam satu kawasan parlimen.

Oleh sebab kawasan-kawasan sekitarnya dimenangi oleh calon-calon PAS, maka dengan laluan yang diberi oleh PAS itu memungkinkan Onn diterima oleh pengundi di Terengganu.

Onn seorang wira dan putera handal dari Johor tetapi rakyat negeri asalnya tidak menilai ketokohannya; yang menilainya pengundi-pengundi Terengganu. Beliau menang di kerusi Kuala Terengganu.

Semua calon luar yang dikemukakan oleh PAS di Kelantan dan di Terengganu dalam pilihan raya umum 1959 berjaya memasuki Dewan Rakyat.

Penggal pertama persidangan selepas merdeka mencatat sejarah mengumpulkan lapan orang pemimpin PAS sebagai anggota Dewan Rakyat. Tujuh daripadanya calon luar dan seorang lagi pemimpin nasional dari Kelantan sendiri, Datuk Asri Muda.

Selepas itu, belum pernah tercatat rekod seramai itu pemimpin utama PAS menjadi anggota Parlimen pada satu-satu penggal.

Dalam pilihan raya umum 1964, hanya Zulkifli Mohamad saja yang kekal bertanding di Kelantan, sementara kerusi-kerusi lain ditandingi oleh calon anak tempatan sendiri.

Haji Ahmad Perai menemui kemalangan jalan raya dan meninggal dunia. Pilihan raya kecil bagi mengisi kekosongan kerusi tersebut digantikan oleh calon tempatan, tidak lagi dari luar Kelantan iaitu Tuan Guru Nik Abdul Aziz.

Ustaz Othman Abdullah menyertai Umno menjelang pilihan raya umum 1964; jadi tidak berbangkit lagi baginya untuk bertanding di Kelantan. Sebaliknya beliau menjadi calon Perikatan di Hilir Perak. Manakala Datuk Raja Haniafah tidak dapat menumpukan masa di Kelantan, maka beliau tidak lagi menjadi calon di negeri itu.

Manakala di Terengganu, Dr Burhanuddin al-Hilmi menghadapi kes mahkamah dan beliau hilang kelayakan bertanding. Hasan Adli dan Kadijah Sidik juga tidak lagi bertanding di Terengganu.

Zulkifli Mohamad satu-satunya calon dari luar bertanding di Pantai Timur pada 1964 dalam gelora isu konfrontasi Indonesia-Malaysia. Beliau berjaya mendapat peratusan undi dan majoriti yang tinggi. PAS dalam pilihan raya tu agak terpukul kerana menentang pembentukan Malaysia. Pendirian PAS itu sama pula dengan sikap Indonesia.

Zulkifli Mohamad pula, kemudian, menemui kecelakaan jalan raya sehari selepas memenangi pilihan raya umum 1964. Dalam pilihan raya kecil bagi mengisi kerusi yang dikosongkannya, PAS terus meletakkan calon dari luar iaitu Abu Bakar Hamzah. Pengundi tempatan terus memberi sokongan kepadanya untuk beberapa penggal.

Selepas PAS menyertai kerajaan campuran PAS-Perikatan pada 1973 dan setahun kemudian ikut membentuk Barisan Nasional bersama Perikatan, maka tidak lagi timbul orang luar bertandingi di Kelantan.

Cuma dalam tahun 1986, ketika parti itu dalam keadaan kalah di Kelantan, PAS Kelantan menerima Khalid Samad bertanding di Kuala Krai. Pilihan raya umum itu antara sejarah hitam bagi PAS, bukan sekadar penyertaan Khalid tidak membawa kejayaan.

Bukan sekadar calon dari luar tidak dibawa ke Kelantan, calon dari Kelantan sendiri kalah, hanya satu kerusi parlimen saja dimenangi oleh PAS di seluruh negara iaitu di Pengkalan Chepa dengan calonnya Nik Abdullah Arshad.

Kalau Kelantan, sebagai kubu PAS, parti itu hanya memenangi satu kerusi, maka tidak berbangkit isu pengundi luar ditolak oleh pengundi Kelantan.

Tetapi dalam kebangkitan semula PAS pada pilihan raya umum 1990, PAS Kelantan membawa dua calon dari luar iaitu Dr Daeng Sanusi Mariok dan Mohamad Sabu. Kedua-duanya telah diterima oleh pengundi masing-masing di Rantau Panjang dan Nilam Puri.

Dalam pilihan raya itu, PAS mengadakan muafakat Angkatan Perpaduan Ummah (APU) dengan Parti Melayu Semangat 46. Ia bukan sekadar memberikan kemenangan semula kepada PAS di Kelantan, malah APU memenangi semua kerusi Parlimen dan DUN. Kedua-dua parti itu mengulangi kemenangan dalam pilihan raya Umum 1995.

Dalam dua pilihan raya umum selepas itu, iaitu 1999, tiada calon luar bertanding sebagai calon PAS di Kelantan.

Tiadanya calon luar itu bukan disebabkan oleh kebimbangan ia tidak disokong oleh para pengundi tetapi disebabkan keputusan PAS sendiri dan perkembangan menggalakkan PAS secara menyeluruh di seluruh negara.

Bagaimanapun pada pilihan raya umum 2004, PAS membuka semula laluan kepada calon-calon luar. Salahuddin Ayub, kini naib presiden PAS, dari Johor tentunya sukar untuk memenangai pilihan raya di negeri asalnya. Sebagai ketua Pemuda PAS waktu itu, beliau sendiri mempunyai wibawa untuk diketengahkan.

Maka PAS Kelantan bersetuju memberi laluan kepadanya untuk bertanding di Kubang Kerian, kerusi yang pernah diwakili oleh Muhamad Sabu dan selepas itu disandang oleh Datu Husam Musa.

Ternyata pengundi Kelantan terus memberi sokongan kepada calon luar untuk berhadapan dengan calon BN yang terdiri daripada orang Kelantan sendiri dan antaranya orang tempatan.

Tetapi dalam pilihan raya umum ke-12, PAS Kelantan menambah calon dari luar daripada jumlah seorang kepada tiga orang.

Selain Salahuddin yang mempertahankan kerusinya, PAS membawa masuk Nasharuddin Mat Isa, timbalan presidennya bagi menentang calon menteri besar BN, Dr Awang Adek Hussein bertanding di Bachok. Seorang lagi, bendahari PAS Dr Hatta Ramli di Kuala Krai.

Pada pilihan raya umum 2004, Bachok dan Kuala Krai jatuh ke tangan BN. Bachok kubu kuat PAS yang tidak pernah dapat dirampas oleh Umno kecuali dalam 1986 apabila bekas wakil rakyat PAS beberapa penggal sebelum itu Zain Abdullah menjadi calon BN menewaskan calon PAS Tuan Guru Nik Abdul Aziz.

Selepas itu Bachok jatuh semula ke tangan PAS. Tetapi pada 2004, calon PAS ditewaskan oleh BN yang meletakkan Dr Awang Adek.

Dr Awang Adek dilihat sebagai tokoh baru menggantikan Datuk Annuar Musa dan Datuk Mustapa Mohamad, maka dia dicalonkan bagi menjadi menteri besar.

Pada ketika yang sama, dia juga bertanding untuk kerusi parlimen. Nasharuddin dibawa untuk mencabar calon MB dan orang tempatan pula.

Kuala Krai yang dikuasai oleh PAS sejak 1990 jatuh ke tangan BN pada 2004. Kawasan ini diserahkan kepada Dr Hatta untuk merampas semula kawasan itu daripada BN.

Semua calon PAS dari luar telah membuktikan bahawa mereka diterima oleh pengundi Kelantan walaupun mereka berdepan dengan calon BN yang terdiri dari orang tempatan.

Bukan isu calon dari luar Kelantan itu tidak dibangkit oleh BN daalam kempen pilihan raya itu tetapi pengundi Kelantan telah berjaya melepasi kefahaman daerah dan kenegerian.

Orang Kelantan terkenal tebal perasaan kekelantanannya. Di mana mereka berada, mereka berkumpul sebagai satu komuniti sesama mereka.

Tetapi dalam kefahaman politik Islam, pengundi Kelantan mengutamakan perjuangan Islam, menerima calon luar dan menolak calon lawan walaupun mereka orang tempatan dan di kalangan keluarga terdekat.


Subky Abdul Latif, seorang wartawan veteran yang dikenali ramai dan juga pemimpin PAS, menulis analisis ini di blognya Setapak ke Selangkah (26 Mac 2008). Artikel ini diterbitkan sepenuhnya, selepas suntingan, dengan keizinan penulisnya.

Khamis, 24 Disember 2009

Cerdik Tapi Lembam

Orang Pas sendiri jadi dalang?

Oleh RAHANA MOHD. DAHARI
utusankelantan@utusan.com.my

KOTA BHARU 23 Dis. – Sindiket yang menguruskan majlis pernikahan Ketua Penerangan Pemuda Pas Kelantan, Dr. Rosli Allani Abd. Kadir dan isteri keduanya di Selangor, dipercayai didalangi oleh seseorang yang mempunyai jawatan dalam parti itu.

Bekas imam muda itu turut dipercayai telah menikahkan beberapa lagi pemimpin Pas pelbagai peringkat kerana mempunyai hubungan baik dengan mereka dan kewibawaannya diyakini berdasarkan latar belakang pendidikan agama dan peranannya.

Difahamkan, bayaran yang dikenakan adalah antara RM3,000 hingga RM4,000 bagi orang kenamaan dengan jaminan mendapat sijil dan kad perkahwinan yang didaftarkan oleh jabatan agama Islam.

Semalam, Rosli dalam sidang akhbarnya mengaku dia dan isterinya, Ilyani Mohd. Noor, 30, menjadi mangsa sindiket perkahwinan yang diuruskan oleh seorang bekas imam muda di negeri Selangor.

Beliau bagaimanapun telah diberikan sijil dan kad perkahwinan yang tidak didaftarkan walaupun menjanjikan perkara sebaliknya.

Kelmarin, Mahkamah Tinggi Syariah di sini memerintahkan Rosli tinggal berasingan dengan isteri keduanya itu sehingga permohonan bapa mertuanya, Mohd. Noor Che Man untuk membatalkan perkahwinan mereka diputuskan.

Ekoran itu juga, semalam Rosli mengumumkan peletakan semua jawatan dalam Pas agar masalah peribadinya tidak menjejaskan parti.

Surat perakuan nikah yang dilampirkan dalam pernyataan tuntutan pembatalan perkahwinan pasangan itu kononnya dikeluarkan oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) yang ditandatangani oleh Haji Abdullah Hishamuddin atas jawatan Pendaftar Nikah, Cerai, dan rujuk Jawi.

Bagaimanapun Jawi pula melalui pendaftar sebenarnya, Abdullah Hashim telah memaklumkan kepada Mohd. Noor dalam sepucuk surat bahawa surat perakuan itu tidak dikeluarkan dan tidak tercatat dalam buku daftar perkahwinan.

Sementara itu, Pengarah Jawi, Datuk Che Mat Che Ali ketika dihubungi memberitahu, beliau belum dimaklumkan lagi mengenai kes tersebut yang mengaitkan dokumen dan pegawai Jawi.

Che Mat berkata, kes terakhir membabitkan sindiket pernikahan yang dikesan oleh pihaknya berlaku pada tahun 2006 yang dibongkar secara besar-besaran.

‘‘Jika apa yang didakwa itu benar, perkara ini akan disiasat hingga ke akar umbi serta tindakan tegas akan diambil terhadap pihak terlibat untuk menjaga nama baik dan kepentingan jabatan,’’ katanya.

Che Mat berkata, sejak tahun lalu, Jawi telah menggantikan sijil perkahwinan daripada bentuk sekeping kertas kepada kad pintar yang mengandungi cip ciri-ciri keselamatan.

‘‘Kad pintar seperti kad pengenalan oleh Jabatan Pendaftaran Negara itu mengandungi enam ciri-ciri khas untuk keselamatan,” katanya.

Mengenai pasangan yang ingin berkahwin menggunakan khidmat orang tengah, Che Mat menasihatkan mereka agar merujuk kepada jabatan agama tempat mereka dinikahkan terlebih dahulu.

‘‘Jika pasangan tidak menyiasat sebelum bernikah, kita bimbang ia akan mendatangkan kesulitan pada kemudian hari,” ujarnya

Rabu, 23 Disember 2009

MB Terengganu Lantikan Raja

MB sumpah tak seleweng
Oleh Shaarani Ismail dan Baharom Bakar
am@hmetro.com.my

KUALA TERENGGANU: Menteri Besar, Datuk Ahmad Said yang sering dikaitkan dengan tuduhan penyelewengan dalam pelaksanaan pelbagai projek dalam pentadbirannya oleh kumpulan tertentu, semalam, melafazkan sumpah secara terbuka ketika Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi menafikan semua dakwaan berkenaan.Ahmad berkata, semua projek yang dilaksanakan dalam pentadbirannya termasuk pemberian kurma dan air zamzam mengikut prosedur dan bertujuan memanfaatkan rakyat semata-mata.

“Dengan nama Allah, Bismillahirrahmanirrahim, wallahi, wabillahi, wataallahi...tidak ada penyelewengan, rasuah dalam kes ini atau dalam kes lain. Saya telus. Saya boleh jelaskan hal ini demi kepentingan rakyat.

“Saya sedih apabila ada wakil rakyat mempersoalkan mengenai pemberian kurma dan air zamzam, malah ada andaian berlaku penyelewengan,” katanya sambil menambah bungkusan kurma diagihkan kepada rakyat Terengganu dengan kos RM20 seunit itu berpatutan dan tidak ada sebarang penyelewengan dalam pemberian kontrak pembelian tiga jenis kurma dan air zamzam itu.Pada Ramadan lalu, kerajaan negeri memperuntukkan RM8.3 juta untuk memberi pek kurma dan air zamzam kepada lebih 300,000 isi rumah di negeri ini.
Beliau mengulas mengenai soal pengagihan air zamzam dan kurma yang dibangkitkan Alias Abdullah (BN-Alur Limbat) dalam sesi perbahasan bajet, semalam.

Sepanjang persidangan sejak tiga hari lalu, antara persoalan dibangkitkan ialah mengenai pemberian kontrak melombong bijih besi di Bukit Besi, kontrak pemberian baju sekolah kepada pelajar miskin dan dasar rundingan terus yang dilakukan kerajaan negeri dalam soal pembaikan dan penurapan jalan.Ahmad berkata, wakil rakyat sama ada pembangkang atau penyokong kerajaan, tidak seharusnya menggunakan keistimewaan dewan untuk membuat tuduhan bukan-bukan terhadap kerajaan negeri mahupun pegawai kanan beliau yang tidak berpeluang untuk menjawabnya.

“Kalau rasa ada penyelewengan dan rasuah, silakan (bangkitkan) di luar dewan.

“Sebab dalam polisi SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) jelas, kalau buat tuduhan yang mana terbukti tidak benar, orang (yang dituduh) itu boleh ambil tindakan dan mendakwa orang berkenaan kerana fitnah. Jangan guna hak istimewa dewan ini dengan membuat dakwaan bukan-bukan,” katanya.Selain isu air zamzam dan kurma, beliau turut menjelaskan mengenai isu pengisian minyak kenderaan milik kerajaan negeri seperti yang dibentangkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2008.Mengikut laporan itu, tiga kenderaan milik kerajaan negeri dikesan mengisi minyak berjumlah RM602.37 dalam tempoh 16 minit pada hari dan daripada pam minyak sama.

Menjelaskan punca kekeliruan itu, Ahmad berkata, dakwaan penyelewengan itu tidak berlaku kerana daripada penjelasan pemandu terbabit, semua kereta bergerak dalam konvoi dan hanya seorang pemandu yang membawa kad minyak dan mengisi minyak untuk ketiga-tiga kenderaan.“Kerajaan memandang serius perkara itu dan ia perlu diperjelaskan dalam dewan yang mulia ini,” katanya.Beliau juga menjelaskan mengenai sektor pelancongan yang akan dijadikan sebagai sumber ekonomi penting negeri pada masa akan datang untuk mengelak kebergantungan kepada hasil royalti minyak daripada Kerajaan Pusat.Katanya, kerajaan negeri perlu mencari alternatif jangka masa panjang untuk menjana ekonomi negeri kerana minyak di perairan Terengganu akan habis pada suatu hari nanti.

“Daripada RM1.888 bilion yang diperuntukkan dalam Bajet Terengganu tahun depan, 92 peratus daripadanya diperoleh melalui sumber Kerajaan Pusat melalui Dana Khas Kerajaan Pusat, yang tidak lama lagi, insya-Allah akan menjadi wang royalti.
“Untuk itu, usaha yang perlu kita lakukan ialah menjana pendapatan negeri pada masa depan melalui sektor pelancongan dan ia akan diletakkan sebagai tulang belakang ekonomi Terengganu,” katanya.

Komen : Inilah kalau lantikan dari raja...jawatan ini di Malaysia dilantik oleh pemilihan dari parti yang menang. Ramai YB Adun tidak setuju maka timbullah percangahan pendapat.

Isnin, 21 Disember 2009

Adakah Ini Dapat Selesai Masalah....sebab barang dah guna.



Raisuddin, isteri kedua diarah tinggal berasingan
SHAH ALAM 21 Dis. - Selepas lebih dua tahun hidup bersama, Raisuddin Hamzah dan isteri keduanya, Siti Fatimah Suberi hari ini diperintah tinggal berasingan oleh Mahkamah Tinggi Syariah di sini sehingga perkahwinan mereka disah dan didaftarkan.

Hakim Syarie, Abu Zaky Mohammad mengeluarkan perintah sementara yang berkuat kuasa hari ini selepas membenarkan permohonan bapa Siti Fatimah, Suberi Abdullah, 49, untuk menghalang pasangan itu daripada tinggal serumah.

Beliau dalam penghakimannya berkata, permohonan Suberi selaku plaintif adalah bersesuaian memandangkan kes pengesahan pernikahan Raisuddin, 53, dan Siti Fatimah, 22, masih dalam prosiding di mahkamah, belum disah mahupun didaftarkan.

''Saya dapati permohonan (injunksi sementara) ini bersesuaian dengan taraf (status) perkahwinan sehingga satu perintah pengesahan dibuat oleh mahkamah.

''Dengan itu mahkamah membenarkan permohonan supaya responden pertama (Raisuddin) dan responden kedua (Siti Fatimah) tinggal berasingan sehinggalah perkahwinan kedua-dua pihak disahkan," katanya.

Abu Zaky dalam penghakiman ringkas turut menegur semua pihak agar lebih prihatin dengan status perkahwinan tersebut lebih-lebih lagi ia melibatkan isu poligami.

Katanya, undang-undang yang sedia ada diwujudkan bagi memastikan setiap perkahwinan dikendalikan secara teratur serta mematuhi syarat-syarat dan prosedur sebelum ia dapat disahkan.

Pernikahan Raisuddin yang juga penyanyi era 80-an dengan Siti Fatimah di Songkhla, Thailand pada 2 Januari 2007 menimbulkan kontroversi apabila Suberi memfailkan permohonan untuk membubarkan perkahwinan itu secara faraq.

Beliau membuat permohonan itu dengan alasan Siti Fatimah bermastautin di Selangor dan dia sebagai wali mujbir langsung tidak dimaklumkan tentang perkahwinan itu.

Bapa Siti Fatimah kemudiannya memfailkan permohonan pada 17 Mac 2007 untuk mendapatkan perintah injunksi sementara bagi menghalang pasangan itu daripada tinggal serumah dan menjalankan kehidupan sebagai suami isteri sehingga rayuan pengesahan pernikahan mereka diputuskan.
Sementara itu, permohonan yang dikemukakan oleh Raisuddin dan Siti Fatimah untuk mengesahkan pernikahan mereka pula akan dibicarakan di Mahkamah Tinggi Syariah berasingan pada 10 Februari depan.

Kes itu dibawa ke mahkamah yang lebih tinggi ekoran keputusan Hakim Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur pada 5 Februari lalu yang menolak permohonan Raisuddin untuk mengesahkan pernikahannya dengan Siti Fatimah.

Mahkamah Rendah Syariah tersebut turut menolak permohonan Suberi untuk membubarkan perkahwinan anaknya dengan bapa penyanyi popular Siti Sarah itu secara faraq kerana tiada bidang kuasa untuk berbuat demikian.

Raisuddin dan Siti Fatimah yang diwakili peguam syarie Norazmi Mohd. Arif, hadir dengan memakai pakaian berwarna putih. Sementara Suberi yang datang berasingan diwakili peguam syarie Roshdan Sujak Rafie.


Dr. Rosli, Ilyani diperintah tidak tinggal bersama

KOTA BHARU 21 Dis. - Mahkamah Tinggi Syariah di sini hari ini memerintahkan Ketua Penerangan Dewan Pemuda Pas negeri, Dr. Rosli Allani Abd. Kader (gambar) tinggal berasingan dengan isteri keduanya sehingga permohonan bapa mertuanya untuk membatalkan perkahwinan mereka diputuskan.

Perintah 'mufarakah' (memisahkan) sementara menegah Dr. Rosli Allani, 35, bekas pegawai khas kepada seorang anggota Exco daripada tinggal bersama pasangannya, Ilyani Mohd. Noor, 30, itu dikeluarkan oleh Hakim Syarie Mohd. Yusof Awang.

Plaintif, Mohd. Noor Che Man, 58, seorang ahli perniagaan di sini memohon supaya pernikahan defendan pertama dengan Ilyani selaku defendan kedua dibatalkan kerana percaya perkahwinan mereka di Masjid Lapangan Terbang Subang, Selangor pada 26 Disember 2008, tidak sah.

Mohd. Noor diwakili peguam syarie, Mohd. Zaki Zainal Abidin manakala Dr. Rosli Allani dan Ilyani diwakili peguam syarie, Mustafa Kamal Mat Hassan. Bagaimanapun Ilyani tidak hadir di mahkamah.

Mohd. Zaki memaklumkan, plaintif tidak bersetuju dengan permohonan defendan pertama supaya perkahwinan dengan defendan kedua dilakukan semula untuk menyelesaikan perkara tersebut di luar mahkamah.

Mahkamah menetapkan perbicaraan didengar pada 26 April tahun depan.

Dalam pernyataan tuntutan, plaintif meragui perkahwinan tersebut memandangkan tatacara pernikahan tidak memenuhi rukun dan syarat.

Selain itu, plaintif merujuk surat penjelasan oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JAWI) bahawa dokumen perakuan nikah pasangan itu tidak dikeluarkan dan tidak tercatat dalam buku daftar perkahwinan jabatan berkenaan.

''Plaintif yakin semasa perkahwinan, anak perempuannya mustahil dalam keadaan sedar kerana bertindak sedemikian tanpa kebenaran pihaknya.

"Oleh yang demikian plaintif yakin defendan pertama bukan lelaki atau suami yang baik, sekufu (sama taraf dari segi keturunan, pangkat dan tahap pembelajaran) dan mempunyai niat yang tidak baik dengan menipu untuk tujuan perkahwinan tersebut," ujar plaintif dalam penyata tuntutannya.

Jawapan Biar Pro...

MB T'ganu, ADUN Umno sindir sesama sendiri
Dis 21, 09 6:01pm
Persidangan DUN Terengganu, yang sebelum ini disifatkan agak "muram", hari ini bertukar rancak dan sekali-sekala keadaan menjadi agak panas dengan soalan yang bertubi-tubi daripada penyokong kerajaan sendiri.

Semasa sesi soal jawab hampir satu jam pada hari pertama persidangan, beberapa soalan yang diajukan kepada Menteri Besar Datuk Ahmad Said, menyebabkan keadaan sedikit tegang dan kadangkala sindir-menyindir kedengaran dalam dewan melibatkan wakil rakyat BN sendiri.

Sesi soal jawab pagi ini dimulakan dengan soalan daripada Din Adam (BN-Bukit Besi) yang mahukan penjelasan berhubung nama syarikat pengendali bijih besi di Bukit Besi dan manfaat kepada rakyat tempatan.

Menjawab soalan itu, Ahmad berkata kerajaan telah meluluskan pelantikan tiga syarikat untuk melakukan perlombongan bijih besi di situ yang terletak di Dungun.

Beliau berkata dengan pembukaan semula kawasan perlombongan di kawasan itu, ia dijangka mampu memberi peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan khususnya 50 peratus daripada pekerja yang diupah seperti mana yang disyaratkan.

Tidak berpuas hati dengan jawapan itu, Din minta penjelasan tentang nama syarikat yang dilantik dan kemampuannya selain mempertikaikan sama ada benar syarikat tersebut melantik 50 peratus rakyat Terengganu menjadi tenaga kerja situ.

"Saya hanya tahu mengenai pembukaan kawasan lombong itu melalui pekerja kawasan itu.

"Saya orang Bukit Besi, duduk di Bukit Besi dan menjadi wakil rakyat Bukit Besi tetapi tidak tahu-menahu tentang perkara tersebut," kata Din.

Ahmad berkata kerajaan Terengganu bercadang membuka semula kawasan perlombongan di kawasan itu setelah perunding yang dilantik mengesahkan masih terdapat lima juta metrik tan bijih besi di situ.

Untuk itu, katanya, kerajaan negeri telah melantik tiga syarikat untuk mengendalikan pajakan selama lima tahun iaitu TBM Minerals Sdn Bhd, Cahaya Ikhtiar Sdn Bhd, dan Wahaba Wangi Shd Bhd yang kesemuanya beralamat di Terengganu.

Ahmad kemudian menyindir Din dengan menyatakan wakil rakyat itu kerap tidak hadir pada persidangan dewan dan jarang menjejakkan kaki di pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri menyebabkannya tidak mengetahui pembangunan di kawasan sendiri.

Pertikaman lidah turut melibatkan Alias Abdullah (BN-Alur Limbat) apabila beliau mempertikaikan jawapan yang diberikan oleh Ahmad mengenai peruntukan yang diluluskan oleh kerajaan untuk melaksanakan projek perparitan Baruh Muring Tasek-Padang Leban-Sungai Bukit Payong.

Ketika ditemui di luar dewan, Ahmad berkata beliau melihat perubahan pada persidangan kali ini sebagai satu petanda baik.

"Ini satu petanda baik walaupun kadang kala kita lihat cara soalan dikemukakan tidak seharusnya dilakukan oleh pihak kerajaan... seolah-olah sebagai parti pembangkang... tapi kita tidak kisah.

"Kita boleh melihat bagaimana kematangan bukan sahaja di kalangan wakil rakyat tetapi juga keintelektualan pihak kerajaan menjawab soalan. Saya tidak ada masalah," katanya.

DUN Terengganu mempunyai 24 anggota BN dan lapan daripada PAS. BERNAMA
Related Posts with Thumbnails